suria

Siapa Pemain Bertuah TRW Bakal Dipilih Sebagai Duta Wangian

Mohd Rowi sewaktu menyampaikan produk wangian keluaran Glow Glowing kepada barisan pegawai dan pemain The Red Warriors dalam satu majlis ringkas pada akhir bulan lalu.

PETALING JAYA: Pemain The Red Warriors (TRW) kini diintai untuk dilantik sebagai duta produk wangian bagi lelaki keluaran penaja bersama pasukan Kelantan musim ini, Glow Glowing Beauty Skin.

Pengarah Urusan Glow Glowing, Datuk Mohd Rowi Dollah berkata, jika pemain tersebut bersetuju untuk menjadi duta, beliau bakal digandingkan dengan pelakon Sheera Iskandar yang merupakan duta rangkaian produk syarikatnya.

Beliau berkata, pencarian duta lelaki berikutan produk wangian itu dipasarkan dalam kotak yang mempunyai dua jenis wangian, untuk lelaki dan wanita.

"Pemilihan duta ini akan dibuat berdasarkan faktor prestasi dan komersial termasuk pengaruh pemain di kalangan penyokong yang dapat membantu mempromosikan wangian berkenaan.

"Antara nama-nama yang disebut dalam pemilihan adalah Khairul Fahmi Che Mat, Mohd Nor Farhan Muhammad dan Mohd Badhri Radzi," katanya kepada mStar Online dalam satu temuramah, baru-baru ini.

Beliau bagaimanapun berkata, pemilihan belum lagi diputuskan kerana ia masih dalam perbincangan bersama pihak pengurusan.

"Kita masih belum menetapkan lagi siapa atau berapa pemain yang akan dipilih untuk menjadi duta wangian bagi lelaki. Kita menjangkakan pemilihan ditetapkan pada Mac untuk rangka promosi," katanya.

Menurut Mohd Rowi, set wangian yang merangkumi wangian jenama Boss Hero Boss (lelaki) dan Sexy Lady Million (wanita) itu dijual pada harga RM59 sekotak.

"Set minyak wangi ini baru diperkenalkan di pasaran bulan lalu. Kita ingin menampilkan kelainan dengan menjualnya dalam satu kotak kerana kebiasaannya minyak wangi untuk lelaki dan wanita dijual secara berasingan," katanya.

Mohd Rowi berkata, pihaknya akan mengadakan promosi produk minyak wangi di stadium bagi setiap perlawanan TRW.

"Sempena promosi pengenalan, setiap pembelian satu kotak set minyak wangi akan menerima tiket perlawanan antara Kelantan dengan mana-mana pasukan secara percuma," katanya sambil menambah promosi bermula sewaktu perlawanan Kelantan ketika menentang PKNS di Stadium Shah Alam pada 27 Januari lalu.

Mengenai sasarannya, beliau berharap produk wangian itu turut membantu meningkatkan jualan syarikat tahun ini.

"Kita telah mencatatkan peningkatan jualan sebanyak 50 peratus pada 2016 berbanding tahun sebelumnya.

"Sehubungan itu, saya berharap produk minyak wangi ini akan membantu peningkatan jualan 60 peratus bagi 2017," katanya mengenai syarikatnya yang mula beroperasi pada 2014.

Selain wangian, Glow Glowing mengeluarkan produk kecantikan, Glow Glowing Skincare, minuman kesihatan, Putih Collagen dan yang terbaharu iaitu kanta lekap, JL Lens by Glow Glowing.

Glow Glowing, TRW, Kelantan

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain