GOL Raheem Sterling pada minit ke-29 dan jaringan sendiri oleh Tyrone Mings memberikan Manchester City kemenangan 2-0 ke atas Bournemouth pada aksi Liga Perdana Inggeris, awal pagi Selasa. Kemenangan itu membolehkan City melonjak kedudukan mereka dari tangga keenam ke tempat kedua liga. City merapatkan jurang dengan pendahulu, Chelsea kepada lapan mata dan menghidupkan semula peluang untuk merebut kejuaraan walaupun Pengurus Pep Guardiola menyatakan segalanya sudah berakhir selepas kekalahan 4-0 kepada Everton bulan lalu. Dalam tiga perlawanan menentang City sejak Bournemouth menyertai Liga Perdana Inggeris, mereka tewas ketiga-tiganya, dibolosi 13 kali dan hanya menjaringkan satu gol. Bournemouth juga masih belum memenangi sebarang perlawanan pada tahun ini dan walaupun mengalami kekalahan ketiga berturut-turut dalam saingan liga, mereka tetap mempamerkan semangat juang yang tinggi. Harapan penyokong City untuk melihat Gabriel Jesus meneruskan permulaan cemerlang bersama kelab tidak kesampaian apabila pemain Brazil itu hanya mampu bertahan selama 14 minit. Dia terpaksa digantikan dengan Sergio Aguero selepas mengalami kecederaan buku lali. Ia memberi peluang kepada Aguero untuk membuktikan prestasinya selepas timbul spekulasi yang mendakwa dia bakal kehilangan tempatnya kepada Jesus. City membuka jaringan selepas hantaran lintang Leroy Sane gagal dikeluarkan pertahanan Bournemouth, dan Sterling bijak merembat masuk gol liga yang kelima ke atas Bournemouth. Gol kedua City hadir menerusi gandingan Fernandinho dan Aguero yang percubaannya terkena kaki Mings sebelum melepasi garisan gol.