suria

Super Kip Pelumba Terbaik SIC-MAM

Khairul Idham (kiri) dan Jazeman bersama trofi yang dimenangi.

KUALA LUMPUR: Khairul Idham Pawi menerima tonik tambahan bagi menghadapi musim 2017 apabila dinobatkan Pelumba Motosikal Terbaik pada Anugerah Sukan Permotoran Malaysia Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dan Persatuan Sukan Permotoran Malaysia (MAM) 2016, malam Isnin.

Khairul Idham atau lebih dikenali dengan jolokan Super Kip yang akan bersaing dalam kelas Moto2 bersama pasukan Idemitsu Honda Team Asia musim ini, menerima anugerah tersebut hasil prestasi cemerlangnya sepanjang perlumbaan Moto3 musim lepas.

Pelumba profesional negara, Jazeman Jaafar pula dinobatkan Pelumba Kereta Terbaik, manakala pelumba drift profesional negara, Tengku Djan Ley Tengku Mahaleel meraih Anugerah Kejuaraan Kebangsaan.

Sementara itu, pelumba Moto2, Hafizh Syahrin Abdullah memenangi Anugerah Pelumba Malaysia Pilihan Peminat.

Pasukan Project X Racing pula dinobatkan Pasukan Terbaik (dua roda), manakala pasukan Sakura Tecdo Racing meraih gelaran Pasukan Terbaik (empat roda).

Pada majlis itu turut meraikan hasil karya media sukan yang menyaksikan wartawan Harian Metro, Saiful Affendy Sapran memenangi Anugerah Wartawan Terbaik SIC-MAM, manakala Jurugambar Terbaik dimenangi Abdul Razak Latif daripada Kosmo.

Majlis itu turut meraikan tokoh sukan permotoran negara, antaranya Datuk Abdul Razak Dawood, Tan Sri Mokhzani Mahathir, Allahyarham Tan Sri Basir Ismail, Karamjit Singh, Alex Yoong, Ron Hogg, Shahrul Yuzy Ahmad Zaini, Khairul Idham dan Muhammad Zulfahmi Khairuddin, dalam senarai Dewan Kemasyhuran.

Anugerah Sukan Permotoran Malaysia SIC-MAM 2016 yang julung kali diadakan, adalah bagi menghargai segala usaha dan pencapaian pelumba yang telah mengharumkan nama negara. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain