KUALA LUMPUR: Juara Piala Sumbangsih, Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) menambah koleksi kejuaraan selepas muncul juara Divisyen Perdana Liga Hoki Malaysia (LHM) 2017 di Stadium Hoki Kuala Lumpur, Jalan Pantai malam Ahad. Kemenangan tipis 3-2 ke atas juara bertahan, Pasukan Hoki Terengganu (THT) meleburkan rekod cemerlang wakil Pantai Timur itu yang muncul juara liga sejak 2014. Pemain import dari Jerman, Anton Poul Fritz Ebeling muncul wira pasukan KLHC setelah menjaringkan gol kemenangan menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-60. Terdahulu, kedua-dua pasukan seri 2-2 dengan dua gol KLHC dijaringkan Dedy Aryadi Jumaidi pada minit ketujuh dan Nabil Fiqri Mohd Noor pada minit ke-43. Dua gol THT disumbangkan pemain import dari Korea Selatan, Jang Jonghyun pada minit kesembilan dan Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil pada minit ke-51. Universiti Kuala Lumpur (UniKL) pula menamatkan saingan di tangga ketiga selepas menang tipis 1-0 ke atas Tenaga Nasional Berhad (TNB) pada aksi di gelanggang sama yang berlangsung lebih awal. Gol tunggal perlawanan dijaringkan Muhammad Najmi Farizal Jazlan menerusi pukulan sudut penalti minit ke-12. Dua lagi aksi liga menyaksikanMaybank menewaskan UiTM-KPT 3-1 di Stadium Hoki Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Melaka manakala Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) menang 2-1 ke atas TNB Thunderbolts di Padang Hoki SSTMI, Johor. Saingan Liga Hoki Malaysia diteruskan dengan aksi separuh akhir pertama Piala TNB, Selasa ini dengan KLHC menentang TNB manakala THT berdepan UniKL dan kedua-dua perlawanan berlangsung di Stadium Hoki Tun Razak, di sini. - BERNAMA