suria

Kelantan Tewas 0-2 Kepada MU

Pemain Kelantan Mohd Badhri Md Radzi (dua, kanan) diasak pemain pertahanan Melaka pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad Ke IV malam Selasa. fotoBERNAMA

KOTA BARU: Tuah masih belum menyebelahi Kelantan apabila gagal meraih sebarang mata selepas tewas 0-2 di laman sendiri ketika berdepan Melaka United (MU) di Stadium Sultan Muhammad IV di sini, malam Selasa.

Kapten Melaka United Ilija Spasojevic muncul wira pasukan pelawat apabila berjaya menjaringkan gol pertama perlawanan pada minit ke-58 perlawanan selepas bola yang disepaknya gagal diselamatkan penjaga gol Kelantan Khairul Fahmi Che Mat.

Gol kedua Melaka United pula disumbangkan Muhammad Fauzi Rozlan pada minit-minit akhir perlawanan, sekali gus menghampakan kira-kira 8,000 penonton tuan rumah yang mengharapkan kebangkitan Kelantan di laman sendiri selepas ditewaskan Kedah 0-1 pada perlawanan Sabtu lepas.

Terdahulu, Kelantan bermula garang selepas wisel permainan ditiup menerusi percubaan tepat oleh Mamadou Danso ke arah penjaga gol Melaka United, Mohd Fazli Pa'at namun bola berjaya ditangkap kemas oleh penjaga gawang lawan pada minit ke-7 perlawanan.

Beberapa percubaan Kelantan menerusi pemain importnya Mohammed Ghaddar gagal membolosi gawang Melaka yang dikawal dengan cemerlang oleh Mohd Fazli.

Saingan pada malam Selasa merupakan perlawanan gantian berikutan pertarungan yang dijadualkan pada 21 Januari lepas ditunda selepas keadaan cuaca tidak mengizinkan. - BERNAMA


Kelantan, Melaka United, Liga Super

Artikel Sebelum

Keputusan Liga Juara-Juara

Artikel Berikut

Keputusan Piala AFC 2017

Artikel Lain