suria

Larian Baton Bangkit Bersama: Sambutan Luar Biasa Di Brunei

KUALA LUMPUR: Buat julung kali dalam sejarah penganjuran Sukan SEA dan Sukan Para Asean, Larian Baton Bangkit Bersama mendapat sambutan luar jangkaan yang bermula di Brunei pada Ahad.

Lebih 6,000 masyarakat setempat di Bandar Seri Begawan memeriahkan larian simbolik bersempena penganjuran Sukan SEA Ke-29 dari 19 hingga 31 Ogos dan Sukan Para Asean Ke-9 dari 17 hingga 23 September di Kuala Lumpur.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin menyempurnakan majlis penyerahan baton kepada Presiden Majlis Olimpik Kebangsaan Brunei Darussalam, Pengiran Muda Sufri Bolkiah di perkarangan Stadium Nasional Hassanal Bolkiah.

Pengiran Muda Sufri Bolkiah kemudian menyerahkan pula baton kepada pemenang pingat gangsa sukan wushu di Sukan SEA 2015, Awang Mohd Sufi Shayiran Roslan yang meneruskan larian bersama 30 pelari sokongan.

Kesemua tetamu kenamaan dan bekas atlet Brunei yang terlibat dalam larian baton bergerak mengikuti sembilan pusat yang ditetapkan termasuk pusat permulaan dan penamat melibatkan laluan sejauh 7.4 kilometer.  

Antara yang terlibat termasuk bekas atlet Awang Azmi Hadzid (berbasikal), Awang Kifli Hamzah (silat), Dayang Nurul Ain Md Jaafar (taekwondo), Awang Zatie Hidayat Saidi (sepak takraw), Nurul Nabilah Md Salleh (lawn bowls) dan Awang Sahri Jumat (olahraga).  

Pelari terakhir, Awang Sahri Jumat yang juga pemenang pingat emas pada Sukan Para Asean 2015 bagi acara rejam lembing menyerahkan kembali baton kepada Putera Sufri dan diserahkan kepada Khairy.  

Khairy kemudian menyerahkan baton kepada Duta Filipina ke Brunei, Meynardo Los Banos Montealegre. 

"Amat meriah dan tak sangka dengan sambutan yang amat baik hari ini. Saya melihat susunan amat kemas terutama dengan pelari yang terdiri dari kalangan lagenda sukan negara Brunei. 

"Bagi pihak Kerajaan Malaysia, saya mengucapkan terima kasih kepada kerajaanBrunei yang menjayakan acara ini dan berjaya menganjurkan peringkat pertama Larian Baton ini dengan jayanya,” kata Khairy dalam kenyataan pada Isnin.

Khairy, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Malaysia (MASOC) Kuala Lumpur 2017 berpuas hati dengan maklum balas positif yang diterima mengenai acara berkenaan.  

"Bagi peringkat kedua di Manila, Filipina pada 12 Mac ini, saya difahamkan persiapan dan sambutan meriah sedang dirancang. Sekretariat menerima maklumbalas sangat positif daripada kesemua 10 destinasi, semua mereka amat teruja dengan larian baton ini," katanya.

Larian Baton Bangkit Bersama melibatkan kesemua negara yang terlibat dalam Sukan SEA dan Para Asean, dengan destinasi terakhir di Singapura pada 13 Mei ini sebelum acara Larian Obor dijalankan di seluruh Malaysia dari 14 Mei-12 Ogos. -Bernama

Sukan Sea, Asean, Brunei

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Ilso Larsen Temui Rentak

Artikel Lain