SHAH ALAM: Jurulatih Felda United, B. Sathianathan menyuarakan rasa kecewa terhadap prestasi dua pemain import yang dianggap masih belum cukup berbisa untuk membantu jentera serangan skuad The Fighters.
Sambil memuji prestasi Zah Rahan Krangar dari Liberia, bekas pengendali ATM itu berkata, setakat ini beliau kecewa dengan prestasi import Argentina, Lucas Cano dan Gaston Cellerino yang menjana lebih banyak gol.
Bagaimanapun katanya, Lucas sudah mula menyesuaikan diri dengan pasukan manakala pemain lain perlu berusaha mencari rentak keserasian sesama mereka.
"Saya kecewa kerana pemain di bahagian serangan kerana tidak menjaringkan gol. Lucas hanya menjaringkan tiga gol dan saya percaya mereka boleh pamer prestasi lebih baik.
"Pemain tempatan juga terlalu mengharapkan pemain import, jadi saya beri peluang kepada mereka dalam tempoh sebulan dua lagi untuk perbaiki rentak permainan," katanya.
Felda United akan bertemu Hanoi FC pada saingan kedua Piala AFC di Stadium Shah Alam pada Selasa dan menggalas misi getir untuk mencari kemenangan pertama dalam kejohanan berprestij tersebut.
Aksi pertama anak buah Sathianathan menyaksikan mereka tewas 1-2 kepada kelab Singapura, Tampines Rovers FC pada aksi pembukaan peringkat kumpulan pada bulan lalu.
Felda United yang diletakkan dalam Kumpulan G bersama wakil Filipina, Ceres Negros FC, ini menghuni tangga tercorot tanpa sebarang mata.