suria

Ibrahimovic Digantung Tiga Perlawanan

BINTANG sensasi Manchester United, Zlatan Ibrahimovic akan terlepas perlawanan suku akhir Piala FA berdepan Chelsea selepas mengaku melakukan kekasaran dan digantung tiga perlawanan berkuatkuasa serta-merta.

Perkara itu disahkan menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan Persatuan Bola Sepak England pada tengah malam Selasa.

Selain pertembungan Piala FA pada Isnin, pemain berusia 35 tahun itu yang juga penjaring terbanyak United musim ini juga akan terlepas saingan Liga Perdana berdepan Middlesbrough dan West Bromwich Albion.

Ibrahimovic dan pemain pertahanan Bournemouth, Tyrone Mings dikenakan tindakan berikutan dua insiden pada aksi Sabtu lalu ketika perlawanan berkesudahan seri 1-1.

Mings turut dilihat sengaja memijak kepala Ibrahimovic ketika dia melompat di atas pemain itu pada aksi babak pertama di Old Trafford.

Ibrahimovic bagaimanapun dilihat melakukan asakan balas sejurus selepas itu dengan menyiku pertahanan itu di kepalanya.

Kebiasaannya kedua-dua pemain akan dikenakan hukuman penggantungan tiga perlawanan tetapi FA membuat tindakan luar biasa dengan mengatakan dalam kes Mings, hukuman standard ialah 'jelas tidak mencukupi'.

Bournemouth diberi masa sehingga Rabu untuk menentukan sama ada akan membalas dakwaan terhadap Mings.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain