suria

Bayern Munich Singkir Arsenal

ARSENAL tersingkir dalam kelompok 16 terakhir Liga Juara-Juara buat kali ketujuh berturut-turut selepas tewas 1-5 kepada Bayern Munich pada aksi pusingan kedua di Stadium Emirates, awal pagi Rabu.

Meskipun beraksi di gelanggang sendiri, Arsenal dilihat bergelut untuk merapatkan empat defisit gol yang bolos pada aksi pertama di Allianz Arena, 15 Februari lalu.

Namun Arsenal memberi tanda positif untuk bangkit apabila Theo Walcott menjaringkan gol pembukaan pada minit ke-20.

Belumpun puas untuk melakar kebangkitan luar biasa, Bayern menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti yang disempurnakan Robert Lewandowski.

Laurent Koscielny yang melakukan terjahan kasar ke atas Lewandowski akhirnya diperintah keluar padang.

Arjen Robben dan Douglas Costa kemudian menambah derita pengurus Arsenal Wenger apabila masing-masing menjaringkan gol kedua dan ketiga untuk pasukan pelawat pada minit ke-68 dan 78.

Ketika perlawanan berbaki 10 minit, Arturo Vidal menjaringkan dua gol sekali gus mengesahkan kemaraan Bayern ke suku akhir.

Ia merupakan kekalahan terburuk Arsenal apabila dibolosi dengan lima gol di Emirates dan beraksi dengan hanya 10 pemain pada perlawanan penting itu.

Suasana di Emirates kelihatan sedikit tegang sebelum sepak mula dengan penyokong Arsenal mengadakan perarakan mendesak Wenger supaya meletak jawatan.

Malah ada di kalangan penyokong mengejek pengurus itu dan mengibarkan sepanduk.



Arsenal, Bayern Munich

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain