suria

Dua Gol Ramos Bantu Real Mara Ke Suku Akhir

SERGIO Ramos menjaringkan dua gol ketika Real Madrid bangkit daripada ketinggalan sebelum menundukkan Napoli 3-1 dan mengesahkan kemaraan ke suku akhir saingan Liga Juara-Juara.

Anak buah Zinedine Zidane itu menang dengan agregat 6-2.

Real yang memenangi aksi pusingan pertama 3-1 di Santiago Bernabeu bulan lalu seolah-olah berdepan kesukaran di Naples selepas Dries Mertens meledak jaringan pembukaan pada minit ke-24.

Namun Real membuktikan kehebatan mereka apabila bangkit daripada ketinggalan dengan penuh bergaya pada babak kedua.

Corak Real mula berubah apabila Ramos menanduk masuk gol penyamaan pada minit ke-51.

Kapten Real itu kemudiannya menanduk masuk gol kedua pada minit ke-57 untuk membolehkan gergasi Sepanyol itu mendahului dengan 2-1.

Bekas penyerang Juventus, Alvaro Morata yang masuk sebagai pemain gantian menambah derita Napoli apabila meledak gol ketiga Real pada masa kecederaan.

Napoli ternyata memerlukan keajaiban untuk mara ke pusingan lapan terakhir buat kali pertama walaupun gol di babak pertama meniup keyakinan bahawa mereka boleh melakukan kejutan terhadap Real.

Pasukan kendalian pengurus Maurizio Sarri itu melakukan 11 percubaan tepat, percubaan kedua terbanyak ke gawang Real dalam aksi Liga Juara-Juara selepas kali terakhir 15 percubaan yang dilakukan Juventus pada 2013.



Real Madrid, Napoli

Artikel Berikut

Artikel Lain