Pada Rabu, Chong Wei, pemain nombor 1 dunia mengambil masa 35 minit untuk menewaskan pemain Perancis, Brice Leverdez, 21-15, 21-12 dalam perlawanan pusingan pertama di Barclaycard Arena.
Pemenang pingat perak Sukan Olimpik sebanyak tiga kali itu akan berdepan pemain Taiwan, Wang Tzu-wei pada pusingan kedua, Khamis.
Pemain dari China, yang juga juara Olimpik sebanyak dua kali, Lin Dan hanya mengambil masa 31 minit untuk mengenepikan pemain Malaysia Zulfadli Zulkiffli 21-11, 21-12.
Lin Dan akan menentang rakan senegara, Huang Yuxiang dalam pusingan seterusnya.
Beregu lelaki nombor 1 dunia dan pilihan utama Goh V Shem-Tan Wee Kiong juga mara apabila menewaskan pemain Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi 21-15, 21-18 dalam masa 30 minit.
Pemenang pingat perak Olimpik itu akan bertemu pasangan dari China, Liu Xiaolong-Xu Chen.
Bagaimanapun, satu lagi pasangan negara Teo Ee Yi-Ong Yew Sin gagal meneruskan aksi apabila tewas 14-21, 21-13, 18-21 kepada pasangan Taiwan, Lu Ching-yao-Yang Po-han.
Jurulatihnya, Jeremy Gan berkata: "V Shem-Wee Kiong menang tetapi mereka tidak berada pada tahap terbaik, saya berharap mereka akan meningkatkan prestasi dalam perlawanan seterusnya."
"Saya menjangkakan prestasi lebih mantap daripada pasangan Ee Yi-Yew Sin tetapi mereka tidak bangkit. Mereka agak gementar dalam kejohanan utama pertama mereka ini," kata Jeremy.
Pasangan beregu campuran Malaysia, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying dan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing juga mara.
Peng Soon-Liu Ying, pemenang pingat perak Sukan Olimpik, mengalahkan Nico Ruponen-Amanda Hogstrom dari Sweden 21-12, 21-19.
Pasangan pilihan keenam ini akan berdepan Juara Terbuka Jerman Zhang Nan- Li Yinhui dari China.
Sementara itu pasangan Kian Meng-Pei Jing perlu bekerja keras untuk mengalahkan pasangan Taiwan, Lu Ching-yao-Chiang Kai-hsin 21-14, 21-19 bagi mengatur pertemuan menentang pasangan Korea Selatan Yoo Yeon-seong-Kim Ha-na.
Beregu wanita negara Woon Khe Wei-Vivian Hoo akan menentang pasangan Korea Selatan, Jung Kyung-Eun-Shin Seung-chan untuk merebut tempat di suku akhir.