PETALING JAYA: Lima muka baharu antara 18 pemain disenaraikan Ketua Jurulatih Futsal Kebangsaan, Chiew Chun Yong untuk kem latihan pusat skuad futsal kebangsaan Fasa 2 bermula 22 Mac hingga 31 Mac ini. Latihan bertempat di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Kelana Jaya itu juga sebagai persediaan skuad futsal Harimau Malaysia bagi menghadapi Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur, Ogos depan. Daripada senarai 18 pemain itu, 13 daripadanya pemain sama ketika meraih tempat ketiga Kejuaraan Futsal AFF 2016 di Bangkok, Januari lalu. Lima muka baharu itu membabitkan Yazid Kamaruzuan (Melaka), Muhammad Farikh Khabibor Rahman (Perak), Muhamad Arif Johan Johari (Kuala Lumpur TPD), Ahmad Jazlan Jalil (T-Team) dan penjaga gol, Muhammad Syafiq Hamzah (KL City FC) yang pernah dipanggil sebelum ini. Bagaimanapun Mohd Ridzwan Bakri terpaksa diketepikan kerana dia melangsungkan perkahwinan pada tarikh kem latihan pusat diadakan. Sementara itu, sembilan pemain turut berada dalam senarai menunggu jika terdapat mana-mana pemain yang disenaraikan mengalami kecederaan. Mereka termasuk enam pemain dari skuad bawah 20 tahun negara (B-20) iaitu Muhd Amirul Sugito (KL Petaling Putra), Shah Azman Ekmal Saleh (KL Petaling Putra), Nur Hazim Suleiman (Perak), Mohamad Umarul Hakimi Nasarudin (Perak), Muhammad Saad Sani (Melaka) dan Ahmad Aqil Khalis Adli Khairul (Kelantan). Turut berada dalam senarai menunggu adalah Muhammad Asyraf Borhanuddin (KL Petaling Putra), Hazizi Mansor (KL City) dan Muhammad Shamsul Akmar Zamri (Pahang). Dalam pada itu, Chun Yong yang turut bertanggungjawab mengendalikan skuad B-20 negara telah menyenaraikan 20 pemain untuk kem latihan Fasa 2 skuad B-20 negara di Wisma FAM bermula Isnin depan hingga 17 Mac ini bagi menghadapi Kejuaraan Futsal B-20 AFC 2016 di Bangkok, Thailand pada 9 hingga 21 Mei depan. Beliau turut mengekalkan 18 pemain daripada kem latihan Fasa 1 yang telah berlangsung pada 20 hingga 25 Februari lalu termasuk Aidil Shahril, Mohd Awalludin dan Muhammad Farikh. Hanya dua pemain baharu dipanggil kali ini membabitkan Ahmad Harith Naim Mohd Nasir (Kuantan Rangers) dan Fakhrul Islam Anizam (Politeknik Shah Alam) yang akan menggantikan posisi Amirrul Izzad Adang (T-Team) dan Muhammad Asfa Mohd Abiddin (Kelantan).