suria

Piala FA: Dollah Jangka Sengit

Dollah Salleh.

PETALING JAYA: Pengendali Pahang, Dollah Salleh mengakui pertemuan menentang juara bertahan Piala FA, Johor Darul Ta'zim (JDT) pada aksi suku akhir bakal menjanjikan saingan sengit.

"Kami pernah kalah kepada JDT dalam aksi Liga Super dan perlawanan itu berlangsung sengit.

"Saya percaya ia akan berlangsung dalam situasi sama kali ini," katanya ketika dihubungi pengacara Nasi Lemak Kopi O secara lintas langsung selepas sesi undian suku akhir Piala FA 2017 di Theatrette, Sri Pentas, Bandar Utama, pagi Ahad.

Malah katanya, aksi Pahang dan JDT di peringkat suku akhir itu disifatkan sebagai satu pertembungan epik.

"Perlawanan ini pasti hebat. Bukan mudah untuk kedua-dua pasukan raih kemenangan," katanya.

JDT sudah tentu akan berhempas pulas untuk meneruskan kemaraan sehingga ke pentas final bagi mempertahankan kejuaraan musim lalu.

Bagaimanapun, Dollah mengharapkan keajaiban daripada anak buahnya untuk melakar kemenangan ke atas JDT.

"Saya percaya kedua-dua pasukan akan berikan yang terbaik. Sememangnya saya mengharapkan kemenangan," kata Dollah.

Sementara itu, pengendali Kedah, Tan Cheng Hoe tidak memandang mudah pasukan lawan di suku akhir iaitu Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) FC.

"Bagi saya Piala FA adalah perlawanan kalah mati. Kita perlu hormati setiap pasukan," katanya.

Cheng Hoe berkata, perkara penting ketika ini adalah memastikan anak buahnya fokus dan mengekalkan disiplin tinggi menjelang pertembungan itu.

"Pemain kena fokus dan memperbaiki kelemahan masing-masing untuk membolehkan pasukan layak ke pusingan separuh akhir," katanya.

Aksi suku akhir pertama bakal berlangsung pada 31 Mac dan 1 April ini, manakala timbal balik bakal berlangsung 21 serta 22 April.

Pada undian itu, impian peminat bola sepak tempatan untuk menyaksikan aksi ulangan Piala Sumbangsih, JDT menentang Kedah mungkin terlaksana apabila skuad Helang Merah dijadualkan bertemu PKNP FC.


Dollah Salleh, Pahang, JDT, Kedah

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain