KUALA LUMPUR: Atlet lompat tinggi negara, Nauraj Singh Randhawa mendapat suntikan semangat menjelang Sukan SEA selepas merangkul pingat emas di Kejohanan Summer of Aths di Canberra, Australia, Ahad. Pada aksi yang berlangsung di Pusat Olahraga AIS, Nauraj, 25, meraih emasdengan lompatan setinggi 2.25 meter bagi menewaskan atlet tuan rumah, Nik Bojic di tempat kedua yang sekadar mencatat 2.19m. Atlet kelahiran Johor itu bagaimanapun gagal meneruskan rentak cemerlang untuk memperbaiki catatan terbaiknya yang juga rekod kebangsaan iaitu 2.29m apabila terkandas pada ketinggian 2.28m. Sementara itu, seorang lagi atlet negara, Lee Hup Wei terpaksa berpuas hati dengan pingat gangsa apabila sekadar melepasi lompatan setinggi 2.16m. Sebagai rekod, Nauraj yang pernah beraksi di Sukan Olimpik Rio 2016 mencatat rekod kebangsaan 2.29m sewaktu Kejohanan Terbuka Singapura pada April 2016. Sementara itu, Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Karim Ibrahim percaya kejayaan diraih Nauraj hari ini merupakan titik permulaan kepada lebih banyak kejayaan selepas ini. Beliau turut menyifatkan kejayaan Nauraj itu membuktikan segala perancangan yang dilakukan KOM dengan kerjasama Majlis Sukan Negara (MSN) dalam meningkatkan prestasi atlet berada pada landasan yang tepat. "Saya yakin beliau mampu membuat lompatan yang lebih baik selepas ini,sekali gus memadam rekod kebangsaan 2.29m yang diciptanya tahun lalu untuk melayakkannya bertanding di Kejohanan Dunia di London awal Ogos nanti. "Kejayaan ini juga membuktikan keputusan KOM dan MSN menghantar atlet negaraberlatih dan bertanding di luar negara adalah keputusan yang tepat dan ia berjalan dengan lancar," katanya. Beliau turut menggesa semua atlet negara untuk terus berlatihbersungguh-sungguh dan meningkatkan prestasi sebagai persediaan menghadapi temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 pada 19-31 Ogos ini.