KUALA LUMPUR: Larian Baton Bangkit Bersama peringkat kedua di bandar Manila, berlangsung dalam suasana penuh meriah dengan penyertaan lebih 10,000 peserta termasuk atlet dan masyarakat setempat. Menurut kenyataan media menerusi laman web Kuala Lumpur 2017, larian sepanjang 7.2 kilometer bermula dari Istana Malacanang dan tamat di Pusat Kebudayaan Filipina itu melibatkan empat pusat pemeriksaan. Pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 dalam acara angkat berat, Hidilyn Diaz menjadi pembawa pertama baton bersama-sama Duta Besar Malaysia ke Filipina Datuk Raszlan Abdul Rashid dan Jurucakap Presiden Filipina Ernesto CArbella serta Pengerusi Suruhanjaya Sukan Filipina William I Ramirez. Selain Hidilyn, atlet lain yang turut mengambil bahagian termasuk seorang lagi atlet Olimpik Mary Joy Tabal, jurulatih John Philip Duenas serta 21 atlet paralimpik negara berkenaan. Hidilyn menyerahkan baton kepada pasukan bola keranjang lelaki iaitu skuad Gilas Pilipinas di pusat pemeriksaan pertama di Universiti Normal Filipina, kemudian meneruskan larian sejauh 900 meter bersama-sama pelari dari 'National Colleague Athletic Association' (NCAA) dan 'Philippine Sports Association of the Differently Abled' (PHILSPADA). Baton kemudian diserahkan kepada atlet lompat jauh, Maristella Torres-Sunang di pusat hentian kedua di Luneta dan kesemua peserta meneruskan larian sejauh 1.6 kilometer untuk ke pusat pemeriksaan ketiga di Rajah Suleyman Park. Wakil Pejabat Presiden, Ryan Alvin Acosa dan Duta Timor Leste ke Filipina Juvencio de Jesus Martin berada di peringkat seterusnya dan larian diteruskan ke Kompleks Sukan Memorial Rizal sebelum menuju ke Pusat Kebudayaan Filipina. William I Ramirez kemudian menyerahkan kembali baton kepada Raszlan untuk diberikan kepada Timbalan Duta Laos ke Filipina, Souksanith Vongphankham. Laos menjadi lokasi seterusnya bagi peringkat ketiga Larian Baton Bangkit Bersama pada 18 Mac. Larian Baton Bangkit Bersama merupakan sebahagian daripada usaha legasi bagi Kuala Lumpur 2017, tuan rumah Sukan SEA ke-29 pada 19 hingga 31 Ogos dan Sukan Para Asean dari 17 hingga 23 September. Baton menjelajah ke semua negara di Asia Tenggara dengan destinasi terakhir di Singapura pada 13 Mei ini, sebelum bermula Larian Obor di seluruh pelosok Malaysia. -Bernama