PUTRAJAYA: Penajaan bagi Sukan SEA Ke-29 dan Sukan Para ASEAN Ke-9 Kuala Lumpur 2017 (KL 2017) sudah mencapai 84 peratus atau RM67 juta daripada jumlah sasaran sebenar RM80 juta. Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Saravanan Murugan berkata, jumlah itu berjaya dikumpul Jawatankuasa Pengelola Sukan SEA (MASOC) dengan menerima sumbangan pelbagai bentuk daripada Malaysia Airports untuk temasya sukan terbesar Asia Tenggara itu. Malaysia Airports adalah rakan penaja emas bagi kategori penajaan antara RM3 juta sehingga RM7.5 juta. “Malah, kita juga sudah mengumpul tajaan dalam bentuk produk dan perkhidmatan bernilai RM47 juta bagi menjayakan KL 2017 kali ini. “Saya juga yakin sasaran penajaan RM80 juta itu mampu dicapai dalam tempoh dua hingga ke tiga bulan lagi," katanya. Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara MASOC dan Malaysia Airports sebagai Penaja Emas bagi KL 2017 di Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di sini, Isnin. Pada majlis itu, MASOC diwakili Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Datuk Lokman Hakim Ali manakala Malaysia Airports diwakili Pengarah Urusannya, Datuk Badlisham Ghazali. Saravanan menyifatkan komitmen Malaysia Airports sebagai satu lagi pencapaian KL2017 yang berjaya menarik penaja dari industri berbeza. "Penglibatan Malaysia Airports menjadi satu batu loncatan kepada KL2017 kerana ia adalah penajaan daripada satu industri yang tiada kaitan secara langsung dengan sukan. "Namun ini tidak bermakna kepentingan dan manfaat yang dibawa mereka kurang bermakna. Malah sumbangan mereka amat penting apabila kita mengambil kira bahawa syarikat itu mempunyai sejarah gemilang," katanya. Menurut Saravanan promosi KL2017 melalui Malaysia Airports amat diperlukan selepas mengambil kira kira-kira 88.83 juta penumpang yang keluar masuk di lapangan tersebut pada tahun lalu. "Ia akan memberi impak besar apabila skrin digital, ambient branding dan ruang tertentu digunakan untuk mempromosikan dan mewujudkan suasana mesra menyambut delegasi KL2017," katanya. Pada masa sama, Saravanan turut menyeru kepada Malaysia Aiports agar menyediakan perkhidmatan terbaik kepada semua kontinjen luar negara yang datang ke Kuala Lumpur untuk temasya sukan itu. Beliau berkata perkhidmatan terbaik penting kerana pengalaman berurusan di lapangan terbang akan menjadi titik pertama dan terakhir dalam membentuk tanggapan kontinjen luar negara terhadap Malaysia. "Kemungkinan sebarang cerita kurang manis menjadi viral amat besar di zaman teknologi pantas, jadi perkara ini tidak boleh dipandang remeh. "Malaysia mesti bukan sahaja mempersembahkan sebuah acara sukan yang gilang-gemilang tetapi pengalaman terbaik kepada semua, sejurus mereka sampai sehinggalah tiba waktu mereka pulang nanti," katanya. Temasya Sukan SEA Ke-29 akan berlangsung pada 19 hingga 31 Ogos ini manakala Sukan Para Asean kesembilan bermula dari 17 hingga 23 September ini.