GARETH Southgate akan menamakan Marcus Rashford dalam skuad utama England kendaliannya. Keputusan itu hadir selepas krisis kecederaan yang melanda beberapa penyerang England iaitu Harry Kane, Daniel Sturridge dan Wayne Rooney. Namun keputusan Southgate itu mungkin mencetuskan rasa kurang senang Pengurus Manchester United, Jose Mourinho. Rashford akan dimasukkan dalam skuad utama untuk kejohanan Eropah Bawah 21 tahun pada musim panas ini. Southgate pada awalnya tidak memasukkan nama Rashford dalam senarai skuad senior. Oleh kerana tiada pilihan lain, pengurus berusia 46 tahun itu terpaksa menyenaraikan Rashford ketika England bertemu juara dunia, Jerman pada aksi persahabatan, Rabu sebelum Lithuania tiba di Wembley pada Ahad untuk perlawanan kelayakan Piala Dunia. Rooney hampir pasti digugurkan dalam skuad kerana masih bergelut dengan kecederaan lutut. "Rooney cedera. Dia mengalami sedikit kecederaan di kawasan lutut, jadi dia tidak boleh beraksi. Dia akan terus menjalani rawatan pemulihan," kata Southgate.