SEBAGAI seorang jurulatih, Tan Cheng Hoe perlu memberi pertimbangan dari pelbagai sudut terhadap pemain skuad hijau kuning sebelum membuat sesuatu keputusan. Bagi menghargai perjuangan mereka di atas padang sebelum ini, Cheng Hoe mengambil keputusan untuk memberi rehat selama seminggu kepada pemain. Menurutnya, peluang itu boleh digunakan sebaik mungkin bagi pemain yang ingin bersama keluarga dan mengalami kecederaan pula dapat berehat sepenuhnya. "Saya tahu pemain perlukan rehat dan sebab itu mereka semua diberikan rehat selama tujuh hari untuk menghabiskan masa bersama keluarga dan mengatasi kecederaan. "Kita akan berlatih semula pada 18 Mac dan saya mempunyai masa selama 12 hari hari untuk memastikan pemain kembali fokus dan berada dalam momentum untuk terus memburu kejayaan. "Kita juga kehilangan lapan pemain yang bersama pasukan kebangsaan dan ini menyukarkan saya untuk melakukan perancangan bagi menghadapi saingan Piala FA dan Liga selepas ini," katanya kepada mStar Online. Cheng Hoe menambah, apabila kesemua pemain kembali dalam sesi latihan, mereka dituntut untuk bersaing bagi mendapatkan kedudukan dalam kesbelasan utama. Jelasnya, persaingan itu penting supaya barisan jurulatih dapat memilih pemain yang benar-benar cergas untuk turun sebagai kesebelasan utama. "Sama ada pemain muda atau senior dan simpanan atau utama, itu tidak menjadi persoalan kerana mereka perlu menunjukkan prestasi sebenar. "Kita mempunyai hala tuju yang jelas dan diketahui oleh pemain untuk musim ini dan mereka perlu berusaha ke arahnya. "Kita akan buat yang terbaik untuk memastikan rekod tanpa kalah itu dapat dikekalkan dan meraih kejayaan di akhir musim," ujarnya.