LONDON: Harapan Arsenal untuk menempah tiket ke Liga Juara-Juara pada musim depan semakin kelam apabila tewas mengejut 1-3 kepada kelab kerdil, West Brom dalam aksi Liga Perdana Inggeris pada Sabtu. Kekalahan itu juga memberi ruang kepada pencabar terdekatnya, Manchester United untuk melonjak ke tangga kelima liga, sekali gus mengakhir badi nombor enam yang dihuni sejak November tahun lalu sekiranya menewaskan pasukan kedua tercorot liga, Middlesbrough pada Ahad. Dalam aksi di The Hawthorns, anak buah Arsene Wenger terlebih dahulu dikejutkan dengan gol pemain pertahanan West Brom, Craig Dawson pada minit ke-12. Namun The Gunners menyamakan kedudukan selang tiga minit kemudian menerusi perancang utamanya, Alexis Sanchez yang kini hangat dikatakan akan meninggalkan kelab tersebut pada hujung musim ini. Bagaimanapun, Arsenal sekali lagi ketinggalan 1-2 apabila pemain gantian, Hal Robson-Kanu menggegarkan jaring lawan menerusi gol pada minit ke-56. Usaha Arsenal untuk memburu gol penyamaan ternyata sukar apabila West Brom lebih banyak bertahan dan mengharapkan serangan balas. Derita Arsenal bertambah apabila Dawson sekali lagi menjadi during dalam daging menerusi jaringan pada minit ke-75, sekali gus meleburkan harapan kelab London itu untuk membawa pulang sekurang-kurangnya satu mata.