KUALA LUMPUR: Kehebatan kontinjen negara terbukti apabila dinobatkan sebagai juara keseluruhan Kejohanan Silat Asia Tenggara 2017 selepas mengumpul sembilan emas, tiga perak dan empat gangsa pada kejohanan yang berlangsung di Kompleks Lincah Mahaguru Omardin, Gombak, Sabtu. Pada kejohanan ini, yang juga merupakan acara pra Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, sembilan pingat emas negara hadir menerusi enam acara Tanding diikuti tiga acara Seni. Sembilan pingat emas negara disumbangkan oleh juara hatrik silat dunia, Mohd Al-Jufferi Jamari dalam Kelas Putra E (65-70kg), Mohd Zarish Hakim Shukor dalam Kelas Putra C (55-60kg) manakala Mastafa Fitri Masjuri dalam Kelas Putra A (45-50kg). Turut menyumbang emas adalah bekas juara dunia 2010, Mohd Fauzi Khalid dalam Kelas F Putra (70-75kg), Muhammad Robial Sobri dalam Kelas Putra H (80-85kg) dan wakil pesilat wanita, Siti Humairah Kasidin dalam Kelas Putri B (50-55kg). Kilauan pingat perak pula hadir menerusi Muhammad Amirul Basaruddin dalam Kelas Putra B (50-55kg), Siti Zubaidah Che Omar dalam Kelas Putri D (60-65kg) dan trio putri negara dalam acara Seni-Regu. Sementara pingat gangsa disumbangkan oleh Mohd Hazim Amzad dalam Kelas Putra D (60-65kg), Nurul Annisa Sobri Kelas Putri A (45-50kg), Ummi Syazana Husin dalam Kelas Putri E (65-70kg) dan trio negara dalam acara Seni-Regu. Kejayaan itu menyaksikan Persatuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) memberi bayangan bahawa sasaran lapan pingat emas yang diletakkan mampu bertambah pada temasya Sukan SEA dari 19 hingga 31 Ogos ini. Setiausaha Agung Pesaka, Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata sasaran itu dilihat boleh meningkat berdasarkan kejayaan yang dicapai meskipun tanpa dua lagi pesilat negara yang tidak dapat bertanding akibat kecederaan. "Saya boleh bayangkan kejayaan yang mungkin kita kecapi pada Sukan SEA Ogos ini apabila melihat kesemua pesilat kita bertempur dengan bersungguh-sungguh seterusnya meraih kejayaan. "Jumlah emas pada kejohanan ini mungkin akan bertambah sekiranya dua pesilat kita yang juga merupakan juara dunia turut bertanding tetapi mereka terpaksa diketepikan kerana kecederaan," katanya kepada pemberita di sini. Dalam pada itu, pasukan Vietnam muncul naib juara keseluruhan selepas meraih lima emas, lima perak dan tujuh gangsa diikuti Singapura di tempat ketiga yang mengumpul empat emas, enam perak dan empat gangsa. Tujuh negara ASEAN iaitu Brunei, Indonesia, Filipina, Singapura, Thailand, Vietnam dan Malaysia mengambil bahagian pada kejohanan edisi ketujuh itu. Sebanyak 19 kategori termasuk enam acara silat seni dipertandingkan pada kejohanan yang berlangsung selama empat hari itu. - BERNAMA