ANTOINE Griezmann menegaskan dia kini gembira bersama Atletico Madrid, tetapi tidak menolak kemungkinan bakal berhijrah ke sebuah 'kelab besar' pada masa akan datang. Penyerang Perancis ini telah menjadi salah seorang pemain berharga dalam dunia bola sepak sejak menyertai Atletico dari Real Sociedad pada 2014 dengan nilai £24 juta. Setakat ini dia telah menjaringkan 79 gol dalam 147 penampilan. Sumber Sky Sports difahamkan, Manchester United berminat untuk menandatangani pemain berusia 25 tahun itu pada musim panas ini, manakala musuh Atletico dalam saingan La Liga, Barcelona dan Real Madrid juga telah dicadangkan sebagai kelab berpotensi. Griezmann, yang baru sahaja menandatangani lanjutan kontrak lima tahun di Atletico musim panas lalu mengakui prospek untuk bermain dengan salah sebuah kelab terbesar di dunia boleh membuatkan dirinya tergoda. Apabila ditanya mengenai perpindahan ke Barca atau Real, Griezmann memberitahu L'Equipe: "Mengapa tidak? Itulah impian setiap pemain...untuk berada di kelab-kelab besar seperti itu, atau Bayern Munich. "Tetapi sekarang saya tidak melihat diri saya di Barcelona atau Real, atau di mana sahaja. "Saya tidak mempunyai niat untuk meninggalkan Atletico Madrid untuk Paris Saint-Germain, China, Amerika Syarikat, Rusia, atau di tempat lain." Walau bagaimanapun, Griezmann menyatakan dengan jelas bahawa sebarang keputusan mengenai masa depannya tidak akan ditentukan oleh pengurus Diego Simeone. "Dia (Simeone) akan pergi suatu hari nanti, dan pada musim panas saya menghubunginya untuk bertanya jika dia akan kekal," katanya. "Dia beritahu saya tentang rancangannya untuk musim ini, dia mahu saya terus kekal, dan itu yang membuatkan saya berasa gembira," katanya.