suria

SCGM Berhad Rakan Rasmi Temasya Hijau - Khairy

PUTRAJAYA: Jawatankuasa Pengelola Sukan SEA Malaysia (Masoc)  mengorak langkah dalam memenuhi komitmennya menjadikanpenganjuran Sukan SEA dan Sukan Para Asean 2017 (KL 2017) sebagai temasya sukan hijau.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata dalam usaha meminimakan jumlah pepejal yang dibuang ke tapak pelupusan sampah, makanan dan minuman kepada semua petugas, sukarelawan dan atlet akan dihidangkan menerusi bekas makanan mudah terdegradasi.

Menerusi perjanjian kerjasama penajaan dengan syarikat pembungkusan plastik SCGM Berhad, syarikat itu akan menaja bekas makanan tersebut melalui jenamanya, Benxon untuk KL 2017.

Khairy tanpa mendedahkan jumlah tajaan berkata sebagai penaja perak, syarikat itu turut menyumbang tajaan wang tunai dan terlibat dalam program kesedaran mengenai penggunaan plastik yang betul serta pengurusan sisa secara 4R (mengurang, guna semula, kitar semula dan kembali ke alam semula jadi).

"SCGM Berhad akan dikenali sebagai antara rakan rasmi temasya hijau bagi KL2017. SCGM yang beroperasi di Kulai, Johor merupakan syarikat tempatan pertama dari luar Lembah Kelang tampil menjadi penaja dan saya harap ia dapat membuka mata lebih banyak syarikat untuk menjadi penaja.

"Banyak lagi usaha akan dijalankan seperti sukarelawan hijau dan tong kitar semula yang akan diletakkan di semua gelanggang supaya dapat mempromosikan kempen kitar semula," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian itu di Kementerian Belia dan Sukan di sini, Isnin.

Khairy juga berharap jumlah sasaran sebanyak RM80 juta bagi penganjuran KL2017 boleh dicapai dalam masa terdekat, selepas berjaya mendapat RM68 juta penajaan setakat ini. 

"Sehingga kini kita telah mencapai 96 peratus sasaran penajaan dari segitajaan perkhidmatan dan barangan serta 66 peratus sasaran wang tunai. Kita masih memerlukan RM10 juta dalam bentuk wang tunai untuk mencapai sasaran RM30 juta,"katanya. 

Sukan SEA ke-29 akan berlangsung dari 19-31 Ogos ini, manakala Sukan Para Asean kesembilan akan bermula 17-23 September depan. -Bernama

Sukan Sea, Masoc, Khairy Jamaluddin

Artikel Sebelum

Artikel Lain