suria

Sharbinee Masih Dalam Pasukan Terengganu - Exco

HULU TERENGGANU: Penjaga gol Terengganu, Mohd Sharbinee Allawee Ramli masih kekal dalam skuad bola sepak negeri itu walaupun tidak berada dalam kesebelasan utama.

Exco Belia, Sukan dan Sumber Manusia negeri, Datuk Rozi Mamat berkata ketiadaan Mohd Sharbinee, 30, sejak kebelakangan ini bukan bererti dia telah digugurkan.

"Beliau masih dalam skuad negeri dan tidak bermain bukan bermakna digugurkan terus.

"Mana-mana pemain kita yang mengalami kecederaan akan direhatkan walaupun untuk tempoh yang lama, begitu juga dengan Sharbinee," katanya ketika ditemui dikediamannya pada Selasa.


Beliau diminta mengulas berita penyakit jangkitan kuman pada paru-paru dialami Mohd Sharbinee yang tular di media sosial dan dikatakan telah digugurkan dan tempatnya digantikan Suffian Abdul Rahman yang pernah mewakili Sarawak.

Menurut Rozi, dalam setiap perlawanan, jurulatih hanya menurunkan pemain yang betul-betul cergas untuk beraksi. Menyentuh mengenai rawatan dan penyakit yang dihidapi bekas penjaga gawang kebangsaan itu, Rozi memberi jaminan kerajaan negeri memandang serius perkara tersebut dan bersedia menanggung kos perubatan.

Malah, katanya, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) memintanya untuk memantau perkembangan kesihatan Mohd Sharbinee secara berterusan.

Rozi dalam pada itu meminta orang ramai tidak lagi menularkan berita yangtidak sahih berkaitan Mohd Sharbinie yang kini menjalani rawatan.

Isteri Mohd Sharbinee yang enggan namanya disiarkan ketika ditemui Bernama memaklumkan suaminya enggan diganggu dan harus mendapat rehat untuk rawatan susulan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian. -Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain