PETALING JAYA: Kejohanan Piala Tun Sharifah Rodziah yang bakal berlangsung pada 6 hingga 15 April ini dianggap peluang terakhir pemain-pemain bola sepak wanita untuk dipilih menyertai skuad kebangsaan. Pengerusi Jawatankuasa Bola Sepak Wanita, Datuk Norhuda Ahmad berkata, kejohanan tahun ini agak berlainan kerana ianya mempunyai fokus tersendiri. "Tahun ini merupakan kali ketiga Piala Tun Sharifah Rodziah kembali dianjurkan dan kami gembira kerana sebanyak 12 negeri menghantar wakil masing-masing. "Apa yang lebih penting, kejohanan tahun ini bakal menjadi medan pemain-pemain menunjukkan aksi terbaik untuk dipilih menyertai kem latihan skuad negara," jelasnya selepas majlis perasmian dan undian Piala Tun Sharifah Rodziah di Wisma FAM pada Rabu. Dalam pada itu majlis undian menyaksikan juara dua kali berturut-turut (2015,2016) MISC-Mifa berada dalam Kumpulan A bersama Selangor, PDRM dan Perak. Manakala Kump B dilengkapi dengan pasukan Sabah, Kedah, Pulau Pinang dan Melaka. Tuan rumah, Sarawak bakal berentap dengan Pahang, Negeri Sembilan serta Kelantan bagi saingan Kumpulan C. Sebagai rekod, Piala Tun Sharifah Rodziah merupakan kejohanan bola sepak wanita tertua negara yang dianjurkan sejak tahun 1976. Namun pada tahun 2004 kejohanan tersebut dihentikan seketika sehingga kembali dianjurkan pada tahun 2015. Dalam perkembangan lain, jurulatih skuad wanita kebangsaan, Mohd Asyraaf Abdullah berkata, kejohanan tempatan yang diadakan ini dapat membantunya untuk perkuatkan barisan negara. "Skuad kebangsaan sudah pun menjalani beberapa latihan fasa bagi persiapan Sukan Sea Ogos ini. "Namun dalam tempoh yang ada sekarang, kami dapat menilai lebih ramai pemain berkaliber untuk diserapkan ke dalam skuad ini. "Sebelum ini ketika Liga Bolasepak Rakyat Wanita (LBRW) saya juga telah dapat melihat beberapa pemain yang berbakat untuk dipanggil ke kem latihan nanti," ujarnya kepada mStar Online.