suria

Persatuan Bola Sepak Negeri Gagal Lahirkan Lebih Ramai SuperMokh - Elyas

Elyas Omar.

PETALING JAYA: Bekas Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tan Sri Elyas Omar senada dengan Tunku Ismail Sultan Ibrahim bahawa program pembangunan bola sepak di setiap negeri perlu diberi penekanan serius untuk melahirkan lebih ramai 'Mokhtar Dahari' pada masa depan.

Beliau berkata, krisis tersebut perlu segera ditangani kerana ketika ini Malaysia kekurangan pemain berkualiti di peringkat akar umbi.

"Kita kena buka mata dan lakukan sesuatu dengan segera. Pemain yang ada sekarang sudah berusia dan sampai bila kita mahu mengharapkan mereka untuk terus mewakili negara?

"Apa yang penting kita jangan lupa bakat di peringkat akar umbi. Kita perlu mulakan dengan mencungkil bakat pelajar di peringkat sekolah seawal lapan tahun," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Rabu.

Tegas beliau, FAM perlu memainkan peranan utama dalam program pembangunan tersebut kerana persatuan bola sepak negeri didakwa 'gagal' melahirkan pemain muda berkualiti.

"FAM sendiri kena adakan latihan mencari bakat dan membangunkan bakat di peringkat akar umbi terutamanya di kawasan daerah.

"Kita tak boleh bergantung harap kepada negeri-negeri kerana mereka gagal mengeluarkan produk seperti Mokhtar Dahari. Kita masih belum jumpa pengganti kepada pemain bintang yang sudah meninggalkan kita," katanya.

Elyas berkata, program pembangunan di peringkat akar umbi memerlukan latihan secara berterusan dan berskala besar serta untuk jangka masa panjang bagi memastikan pemain berkualiti dapat dilahirkan.

"Jika mahu program pembangunan itu menampakkan hasil ia memerlukan perancangan yang rapi dan tidak boleh dilakukan sekerat jalan. Kita perlukan lebih banyak pertandingan untuk kenal pasti bakat-bakat muda ini," katanya.

Jelas beliau, program pembangunan bola sepak di negara ini masih serba kekurangan kerana ketiadaan penganjuran pertandingan untuk mencungkil pemain berbakat.

"Kita tak ada pertandingan untuk keluarkan bakat, kalau ada pertandingan baharulah bakat akan terserlah. Jadi saya harap akan ada lebih banyak pertandingan diperkenalkan setiap bulan selepas ini," katanya.

Pada 22 Mac lalu, Tunku Ismail mendedahkan pembangunan permainan dalam keseluruhan program bola sepak Malaysia antara yang akan diberi penekanan sekiranya beliau dipilih menerajui FAM.

Beliau berkata kesemua pasukan dalam Liga Super harus ada lesen kelayakan bagi menubuhkan akademi dan program pembangunan belia perlu selaras dengan garis panduan yang ditetapkan Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) dan Bahagian Teknikal FAM.

Malah, katanya, perlu ada penubuhan garis panduan yang jelas bagi membentuk pemain berbakat di seluruh negara.

"Garis panduan ini termasuk mengadakan program biasiswa pembangunan profesional untuk jurulatih yang telah dikenalpasti.

"Saya sebagai Presiden FAM akan memudahkan rangkaian efektif antara kelab dan sekolah dalam pembangunan pemain dan jurulatih di sekolah," kata Tunku Ismail.

Artikel Lain