suria

Tunggakan Gaji: PFAM Sokong Potong Mata Pasukan Terlibat

PETALING JAYA: Persatuan Pemain-Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) bersetuju dengan cadangan penolakan mata oleh Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) terhadap enam pasukan Liga Malaysia yang gagal melunaskan gaji pemain mereka.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Izham Ismail berkata, sudah tiba masanya pelaksanaan potongan mata ini disegerakan kerana ia membawa mesej jelas bahawa isu tunggakan gaji adalah perkara serius dan perlu dibasmi sepenuhnya.

"Cadangan ini telah lama dikemukakan tetapi tidak dapat dilaksanakan kerana wujudnya kekangan yang tidak dapat dielakkan.

"Namun begitu, melihat kepada perubahan positif dan kesediaan FMLLP untuk melaksanakan cadangan ini, PFAM menyambut baik dan menggesa agar pasukan-pasukan yang mempunyai masalah tunggakan gaji tampil memberi komitmen untuk menyelesaikan isu ini," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, cadangan tersebut juga disifatkan sebagai lambang keadilan buat pemain yang telah lama menunggu hak mereka.

"Pemain terlibat terpaksa menempuh suatu tempoh kehidupan yang sukar kerana sikap tidak serius yang ditunjukkan oleh pasukan untuk menyelesaikan isu ini," katanya.

Pada masa sama, Izham berkata, PFAM juga berharap kes tertunggak di Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dapat disegerakan bagi menjaga kebajikan pemain dan memastikan cadangan tersebut dapat dilaksanakan secepat mungkin ke atas pasukan yang ingkar dengan arahan Jawatankuasa Status FAM.

The Star pada Rabu melaporkan Ketua Pegawai Eksekutif FMLLP, Kevin Ramalingam sebagai berkata, enam pasukan mempunyai tempoh masa sehingga Jumaat ini untuk menyelesaikan kes tunggakan gaji pemain dan kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan mereka berdepan pemotongan mata.

Jelas Kevin, dua pasukan Liga Super dan empat Liga Perdana masih gagal membayar tunggakan gaji pemain berjumlah RM5 juta selain cukai pendapatan dan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Kevin bagaimanapun enggan menamakan enam pasukan yang terlibat.

Artikel Lain