suria

Peluang V Shem-Wee Kiong Juarai Terbuka Malaysia

KUCHING: Pemain beregu lelaki negara, Goh V Shem berupaya mengulangi pencapaiannya menjuarai acara itu di kejohanan badminton Siri Super Premier Terbuka Malaysia, yang kali terakhir dimilikinya pada 2014.

Jika ketika itu dia muncul juara bersama Lim Khim Wah, kali ini V Shem bersama Tan Wee Kiong, yang bersamanya meraih pingat perak Sukan Olimpik Rio, memburu gemilang di kejohanan yang bermula Selasa ini, di sini.

Bagi peminat, pertembungan yang dinantikan pastinya antara V Shem-Wee Kiong menentang juara Seluruh England, Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo yang merampas kedudukan mereka sebagai pasangan nombor satu dunia.

Lebih menarik, pentas pertemuan untuk kedua-dua pasangan teratas ranking dunia itu adalah di pentas akhir, seandainya masing-masing dapat melepasi halangan mereka.

Menerusi undian yang dikeluarkan Persekutuan Badminton Dunia (BWF), V Shem-Wee Kiong yang diletak di undian atas akan membuka cabaran menentang pasangan yang layak daripada pusingan kelayakan sebelum dijangka berdepan beregu Indonesia, Mohamad Ahsan-Rian Agung Saputro.

Seandainya mereka melepasi dua halangan awal, gandingan baharu China, Fu Haifeng-Zhang Siwei menunggu di suku akhir diikuti Chai Biao-Hong Wei di separuh akhir.

Marcus-Kevin yang berada di undian sebelah bawah pula akan membuka cabaran menentang pasangan Jepun, Hoki Takuro-Kobayashi Yugo.

Bagi beregu wanita, pasangan utama negara, Vivian Hoo-Woon Khe Wei akan membuka kempen menentang gandingan daripada pusingan kelayakan.

Lim Yin Loo-Yap Cheng Wen pula akan menentang beregu Indonesia, Awanda Angia Shitta-Istarani Ni Ketut Mahadewi manakala satu lagi pasangan negara, Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean akan berdepan lawan yang mara daripada pusingan kelayakan.

Bagi beregu campuran utama negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying yang menarik diri daripada separuh akhir Terbuka India semalam, mereka akan berdepan Edi Subaktiar-Gloria Emanuelle Widjaya dari Indonesia di pusingan pertama.

Pasangan nombor dua negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing pula berdepan beregu Jepun, Kenta Kazuno-Ayana Kurihara manakala Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai menentang Wang Yilyu-Huang Dongping dari China.

Terbuka Malaysia yang menawarkan hadiah keseluruhan US$600,000 (RM2.64 juta) akan diadakan di Stadium Perpaduan Negeri Sarawak, Petra Jaya di sini dari 4 hingga 9 April. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain