KUCHING: Perjuangan pemain perseorangan negara, Liew Daren dalam saingan badminton Kejohanan Terbuka Malaysia Celcom Axiata, berakhir pada pusingan pertama, Rabu. Liew mudah dijinakkan pilihan keempat kejohanan dari Denmark Victor Axelsen 12-21, 13-21 dalam pertarungan selama 37 minit. Ketika ditemui pemberita, Liew berkata rentak permainan dipamerkan Axelsen yang juga pemain ranking keempat dunia agak laju sehingga menyukarkannya untuk memberi cabaran. Katanya selain itu faktor keletihan selepas terpaksa mengharungi permainan tiga set pada Selasa turut menjadi punca beliau tidak dapat mempamerkan permainan yang lebih baik. "Saya akan cuba perbaiki kelemahan sebelum mengharungi cabaran Terbuka Singapura nanti," katanya. Pada Selasa, Liew layak ke pusingan pertama acara perseorangan lelaki kejohanan selepas mengalahkan Zhao Junpeng daripada China 17-21, 21-15 dan 21-18. - BERNAMA