suria

Vivian-Khe Wei Gagal Lepasi Pusingan Pertama

Vivian Hoo/Woon Khe Wei.

KUCHING: Harapan untuk melihat beregu wanita utama negara, Vivian Hoo/Woon Khe Wei mara ke pusingan kedua tidak kesampaian selepas tewas kepada beregu China, Bao Yixin-Yu Xiaohan di Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia di sini Rabu.

Vivian/Khe Wei, yang menduduki ranking ke-11 dunia itu, tewas 21-13, 17-21, 26-28 dalam aksi selama 85 minit itu di Stadium Perpaduan, Petra Jaya, di sini.

Ketika ditemui media, Khe Wei berkata mereka telah bermain dengan baik sehingga mampu berada pada kedudukan mata akhir pada set ketiga namun gagal melakukan penyudahan kerana kesilapan.

"Lawan kami hari ini lebih bersedia walaupun secara keseluruhan permainan kami adalah baik dan akan memperbaiki kelemahan sebelum menyertai Terbuka Singapura," katanya.

Cabaran beregu wanita negara kini hanya dipikul oleh gandingan Chow Mei Kuan/Lee Meng Yean selepas mereka berjaya menewaskan beregu Indonesia, Dian Fitriani/Nadya Melati 21-18, 21-14 selepas bertarung selama 38 minit.

Satu lagi beregu negara, Tee Jing Yi/Joyce Choon turut tersingkir selepas tewas 14-21, 18-21, kepada beregu pilihan keenam kejohanan, Luo Ying/Luo Yu dari China. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain