ERIC Olhats, wakil kepada Antoine Griezmann dilaporkan telah menghubungi Manchester United mengenai kedudukan mereka dalam Liga Perdana Inggeris kerana bimbang kelab itu akan terlepas aksi Liga Juara-Juara buat musim kedua berturut-turut. Pemain Atletico Madrid itu dikaitkan dengan perpindahan ke Old Trafford musim ini dan Olhats mengesahkan United ada menyatakan minat terhadap Griezmann. Musim mengecewakan mungkin boleh menghantui semula United namun anak buah Jose Mourinho kini menduduki tangga keenam dengan ketinggalan empat mata di belakang Manchester City untuk merebut slot terakhir ke pentas Liga Juara-Juara. Griezmann dilaporkan lebih mengutamakan kelab yang akan beraksi pada saingan Liga Juara-Juara musim depan. Dia mungkin akan mengubah fikirannya jika United gagal melayakkan diri ke kejohanan tersebut. Menurut The Sun, wakil pemain Perancis itu sudah memaklumkan United mengenai kebimbangannya dengan kelab itu dipercayai akan terus menyakinkan Griezmann untuk berhijrah ke Old Trafford. Laporan pada bulan lalu mendakwa proses perpindahannya hampir dimuktamadkan tetapi Griezmann mengakui dia sudah bosan membincangkan mengenai masa depannya selepas menyatakan kesetiaan terhadap Atletico beberapa kali sebelum ini.