JESSE Lingard menandatangani kontrak baharu selama empat tahun dengan Manchester United. United dipercayai menawarkan kontrak baharu bernilai 100,000 pound seminggu kepada pemain berusia 24 tahun itu. Lingard melakukan 17 penampilan dalam semua perlawanan semasa di bawah pimpinan pengurus Jose Mourinho muism ini dengan menjaringkan gol pada aksi final Piala Liga dan final Piala FA musim lalu. "Manchester United sentiasa memainkan peranan besar dalam kehidupan saya. Saya bersama kelab ini sejak berusia tujuh tahun dan saya amat berbangga setiap kali menyarung jersi ini. "Menjaringkan gol pada dua aksi final untuk United merupakan pengalaman paling bernilai bagi saya dan juga keluarga. "Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada peminat di atas sokongan mereka terhadap saya dan juga kelab ini," kata Lingard. Dalam pada itu, Mourinho turut menyatakan rasa bangga kerana Lingard setuju memperbaharui kontraknya di Old Trafford. "Lingard mempunyai kombinasi tenaga dan keupayaan yang bagus untuk masa depannya. Dia juga pemain popular di dalam skuad dan saya amat berbangga dia menandatangani kontrak baharu," katanya.