suria

Chong Wei, Lin Dan Enggan Gantung Raket

PEMAIN perseorangan nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei mengucapkan tahniah kepada musuh utamanya dari China, Lin Dan yang mengecewakannya untuk merangkul Kejohanan Terbuka Malaysia Celcom Axiata 2017 kali ke 12 pada pertarungan akhir di Stadium Perpaduan Petra Jaya pada 9 April 2017. - BERNAMA

KUCHING: Dua jaguh badminton dunia, Datuk Lee Chong Wei serta Lin Dan mengakui masih belum memikirkan untuk menggantung raket mereka biarpun semakin dimamah usia.

Malah, kedua-dua pemain yang perseteruan mereka di gelanggang menjadi tumpuan dunia sukan, masih mahu terus aktif dengan sukan yang melonjakkan nama masing-masing.

"Kami berdua dilihat sebagai pemain yang sudah berumur tetapi kami belum lagi mahu mengumumkan persaraan masing-masing.

"Malah, saya berharap saya serta Lin Dan akan terus bermain untuk beberapa tahun lagi. Bagi diri saya sendiri, saya akan terus bermain selagi saya boleh," kata Chong Wei, 34, menurut laporan Bernama.

Chong Wei berkata demikian dalam sidang media selepas perlawanan akhir menentang Lin Dan, 33, di Terbuka Malaysia di sini pada Ahad. Lin Dan menang 21-19, 21-14 dalam aksi final itu.

Mengenai peluangnya di Kejohanan Dunia nanti, Chong Wei berkata ketika ini sudah ramai pemain muda berbakat yang muncul dan peluang mereka tidak boleh dipandang rendah.

Katanya, pada Kejohanan Dunia nanti akan ada pemain muda yang menyerlah termasuk juara Olimpik yang juga juara bertahan, Chen Long dari China yang menarik diri dari suku akhir Terbuka Malaysia akibat kecederaan.

Chong Wei juga mengakui beliau serta Lin Dan kini terpaksa memilih kejohanan yang mahu disertai bagi mengelak kepenatan.

Sementara itu, Lin Dan berkata beliau masih akan terus aktif di pentas antarabangsa tetapi menegaskan beliau tidak mahu terlalu memikir untuk menjuarai Kejohanan Dunia yang sudah lima kali dimilikinya. 

Malah, katanya, beliau tidak meletakkan sebarang sasaran dalam kejohanan yang disertainya.

Lee Chong Wei, Lin Dan

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain