PENGURUS Chelsea Antonio Conte telah melakukan kritikan sinis terhadap Manchester United dan Manchester City, menyatakan bahawa membelanjakan wang bukan jaminan kepada kejayaan. Pengurus Manchester United Jose Mourinho telah membeli Paul Pogba dengan rekod perpindahan dunia berjumlah £89 juta dan Pep Guardiola yang bertanggungjawab ke atas Manchester City telah berbelanja besar untuk mendapatkan beberapa pemain termasuk pemain pertahanan John Stones yang dibawa masuk dengan nilai £50 juta. Tetapi kedua-dua pasukan itu kini sedang berjuang untuk menempatkan diri di empat kelompok teratas untuk bersaing di Liga Juara-Juara musim depan. Chelsea berada di kedudukan ketiga antara pasukan yang membuat perbelanjaan terbesar dalam Liga Perdana Inggeris musim panas lalu dengan keseluruhan perbelanjaan berjumlah £123 juta, di belakang City (£174 juta) dan United (£149 juta). Bagaimanapun mereka kini berada di puncak liga dengan kelebihan empat mata di atas Tottenham Hotspur, berbaki enam perlawanan. Conte, di mana pasukannya akan menentang Southampton pada malam Selasa, berkata: "Musim ini ia sangat penting untuk kita faham bahawa yang menghabiskan lebih banyak wang bukan sentiasa akan menang. "Musim ini bukan satu-satunya musim kedua-dua kelab Manchester telah menghabiskan banyak wang. Cuba lihat masa lalu. "Mereka ada hak untuk melakukannya, untuk mengukuhkan pasukan, jika mereka fikir ini adalah cara yang betul untuk memenangi kejuaraan. "(Tetapi) Setiap satu kelab memutuskan strategi mereka sendiri," katanya. Pada musim panas lalu Chelsea menandatangani N'Golo Kante dari Leicester, juara musim lalu dengan nilai £32 juta. Kante telah menunjukkan dia adalah bahagian yang penting dalam pasukan Chelsea dan pemain tengah itu pada Ahad dinamakan sebagai pemain terbaik Persatuan Bola Sepak Profesional. Conte berulang kali menyatakan bahawa Chelsea berada dalam tempoh peralihan dengan Branislav Ivanovic dan John Obi Mikel telah meninggalkan kelab dan kapten John Terry bakal berundur pada musim panas ini. Chelsea sedang mencari ketua dan Kante adalah salah seorang, tetapi bukan seperti pemimpin tradisi. "Dia seorang pemimpin senyap dan pemimpin di atas padang yang boleh dijadikan teladan," kata Conte. "Dia bukan jenis pemain yang suka bercakap. Dia bukan John Terry dari segi keperibadiannya. Dia berbeza." Conte menggesa pemainnya untuk berubah daripada rekod baik kepada rekod cemerlang dengan melengkapkan kejayaan kejuaraan Liga Perdana Inggeris dan Piala FA Inggeris.