suria

MSSM: Albert Pecah Rekod Lontar Peluru Berusia 28 Tahun

GEORGE TOWN: Atlet lontar peluru dari Sarawak, Albert Tiong Kah Hao  memecahkan rekod Kejohanan Trek dan Padang Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) berusia 28 tahun, iaitu antara tiga rekod yang dipecahkan pada hari ketiga pertandingan di Stadium Bandaraya, Khamis.

Catatan Albert yang beraksi dalam kategori lelaki bawah 12 tahun, pada jarak 14.98 meter mengatasi rekod lama sejauh 14.7m milik Nazri Mamat dari Kelantan yang dilakukan pada 1989, sekali gus memenangi pingat emas.

Pingat  perak acara ini diraih atlet Sabah, Muhammad Fitri A.Aco yang mencatat 13.9m, manakala gangsa milik Lu Teck Yi dari Sarawak (13.16m).

Rekod kedua dilakukan seorang lagi atlet Sarawak, Samuel Ling Jieng Yi yang memadam rekod MSSM lontar peluru lelaki bawah 18 tahun yang dilakukan tahun lalu sejauh  16.66m milik atlet Muhammad Aidil Taufe dari Kuala Lumpur, apabila melontar sejauh 18.21m.

Tempat kedua dimenangi atlet Kelantan Muhammad Faqriez Mohd Fazuri (16.35m), manakala tempat ketiga milik Farm Loong Deng dari Negeri Sembilan (15.7m).

Satu lagi rekod dilakukan dalam acara rejam lembing kategori perempuan bawah 15 tahun apabila atlet  Johor, Siti Aminah Abdul Hadi mencatat rejaman sejauh 38.05m mengatasi rekod lama 36.7m milik J.Pavithraa Devi dari Pulau Pinang pada MSSM 2013.

Atlet Sabah, Olivia Da Onidian Jainis merangkul pingat perak dengan jarak 33.54m, manakala gangsa dimenangi wakil Kedah, Nur Syafika Elyiana Mohd Khirjohari (33.42m). -Bernama

Lontar peluru, Pecah Rekod, Albert, MSSM

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain