PETALING JAYA: Sebelah kaki kaki telah berada di pentas akhir itulah gambaran jelas buat Gua Musang selepas menang 3-2 pada aksi separuh akhir pertama menentang Keningau di Kompleks Sukan Keningau Sabah, Sabtu lalu. Namun bagi ketua jurulatih Gua Musang, Ruhaled Abd Hamid, kemenangan ditempat lawan perlu dilupakan segera memandangkan baki 90 minit masih ada pada aksi di Padang Sivik Gua Musang, Sabtu ini. “Kami tidak mahu kemenangan tersebut melalaikan barisan pemain, memang kita gembira tetapi saya mahu pemain tidak terbawa-bawa hingga menjejaskan aksi Sabtu ini. “Pemain tidak boleh berpuas hati atau mendabik dada, selagi wisel penamat tidak dibunyikan selagi itulah peluang semua pasukan tetap sama,” jelasnya yang mengharapkan peminat tempatan hadir memberikan sokongan". Berbeza pula dengan Keningau yang tidak rela dihukum lagi dengan kesilapan sendiri gara-gara gementar dan disiplin longgar mereka sehingga kecundang. Dua faktor itu wajar menjadi pengajaran penting skuad bimbingan Sueli Apin ini yang perlu memburu kemenangan sekurang-kurangnya 2-0 ditempat lawan. Kekalahan 3-2 termasuk melepaskan dua gol pantas dalam tempoh tujuh minit di Kompleks Sukan Keningau cukup mengecewakan Sueli sekalipun pasukannya sudah diingatkan lebih awal supaya kerap mematuhi arahan dan disiplin permainan. “Sebagai jurulatih, saya kecewa dengan kesilapan itu tetapi saya juga perlu akui Gua Musang memang sebuah pasukan yang bagus (beroleh dua gol menerusi Azizul Hakimi dan satu, Mohamad Azli Mat),” katanya. Jelas Sueli, anak-anak buahnya kini diingatkan agar sentiasa menghargai dan pantas menyambar setiap peluang yang dicipta sendiri mahupun yang mungkin dibuka gara-gara kesilapan atau kelalaian lawan. Gua Musang pada pengamatannya masih mengalami masalah kerapuhan barisan belakang andainya diserang balas lagi secara mengejut seperti yang berjaya dibolosi Shamsonale Boy Agumin dan Steffano Sakunir, Sabtu lalu. Namun Keningau selain itu masih perlu berdepan pemain ke-12 Gua Musang - penyokong setia tuan rumah yang bakal menemani skuad bimbingan Ruhaled Hamid ini beramai-ramai dan sorakan gamat semangat. Modal tiga gol Gua Musang daripada separuh akhir pertama lalu meletakkan mereka lebih selesa untuk menjamin tiket final malah sebarang tambahan gol tuan rumah, Sabtu ini bakal terus menyulitkan kebangkitan pelawat dari Sabah itu. Dalam satu lagi perlawanan, Bachok perlu memanfaatkan peluang beraksi di laman sendiri untuk memastikan kemaraan di pentas akhir selepas kecundang 1-2 kepada Serian. Penolong Jurulatih Bachok, Saidi MamBat berkata, peluang untuk melakar kejayaan tetap ada apatah lagi beraksi di laman sendiri pastinya akan menaikkan semangat barisan pemainnya. "Jika minggu lalu kita berdepan dengan faktor keletihan disebabkan jarak perjalanan yang jauh tetapi untuk aksi kedua kami perlu beraksi dengan lebih baik."Lebihnya kami adalah berjaya menjaringkan gol di tempat lawan, gol awal perlu dicari untuk memberi tekanan kepada pelawat," jelasnya. Pada masa yang sama , Saidi mahu barisan pemainnya tidak memandang rendah keupayaan pasukan lawan selain mengelakkan kesilapan mudah. "Mereka hadir dengan kemenangan 2-1 jadi saya tidak lihat Serian akan bertahan, kami perlu waspada dengan corak permainan mereka, 90 minit masa yang panjang dan segala-galanya boleh berlaku," katanya.