KEGAGALAN Arsenal mempamerkan aksi konsisten menjadi punca bintang kelab itu, Alexis Sanchez mahu meninggalkan The Gunners. Sanchez dikhabarkan mahu mengangkat kaki dari Emirates pada musim panas ini walaupun pengurus Arsenal, Arsene Wenger yakin mampu mengekalkan pemain antarabangsa Chile itu bersama Arsenal. Namun menurut laporan Mirror, Sanchez menuding jari kepada rakan sepasukannya yang gagal menyerlah pada perlawanan penting sepanjang musim ini. Pemain berusia 28 tahun itu mengakui bahawa Arsenal memiliki ramai pemain berbakat tetapi dia berasa 'letih' dengan kegagalan rakan sepasukan mempamerkan kualiti yang lebih baik. Perbezaan kemahiran setiap pemain menyebabkan Sanchez berasa kecewa dan dia percaya rakan sepasukannya tidak berkongsi impian dan cita-citanya untuk meraih lebih banyak kejuaraan bersama Arsenal. Sanchez dilaporkan mahu berhijrah ke Chelsea pada hujung musim ini, tetapi beberapa pasukan lain termasuk Manchester City, Paris Saint-Germain dan Bayern Munich turut berminat mendapatkan khidmat pemain tengah itu.