suria

Fifa Tarik Balik Hukuman Lionel Messi

Lionel Messi

PASUKAN kebangsaan Argentina mendapat khabar melegakan setelah Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) secara rasmi membatalkan hukuman penggantungan empat perlawanan terhadap Lionel Messi.

Keputusan ini dibuat pada malam Jumaat selepas Jawatankuasa Rayuan Fifa mempertimbangkan rayuan Persatuan Bola Sepak Argentina (AFA) bagi pihak Messi.

Penggantungan tersebut dibuat selepas Messi didapati mengeluarkan kata-kata kesat kepada pembantu pengadil dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia 2018 menentang Chile pada Mac. Dalam perlawanan itu Argentina menang 1-0.

Setakat ini dia sudah terlepas satu perlawanan ketika Argentina menentang Bolivia, yang menyaksikan Argentina kalah 0-2.

Penyerang Barcelona itu sepatutnya menjalani penggantungan tiga lagi perlawanan, menentang Uruguay, Venezuela dan Peru.

Selepas keputusan itu ditarik balik, Messi kini dapat turun padang untuk membantu Argentina dalam tiga perlawanan akan datang.

Dengan terbatalnya keputusan itu, keyakinan dan semangat Argentina untuk bangkit mungkin meningkat di mana pasukan itu kini sedang bergelut untuk layak ke Piala Dunia 2018 di Rusia.

Argentina kini berada di posisi kelima dalam 10 pasukan Amerika Selatan.

Messi sebelum ini telah menjaringkan empat gol dalam pusingan kelayakan.

Walaupun begitu, tugas AFA masih belum selesai apabila posisi jurulatih kebangsaan masih kosong selepas Edgardo Bauza dipecat pada April lalu.

Jurulatih Sevilla Jorge Sampaoli menjadi calon kegemaran untuk memegang peranan tersebut.

Fifa, Lionel Messi

Artikel Lain