KEMENANGAN tak putus-putus Tottenham Hotspur akhirnya terhenti ketika mereka berkunjung ke markas West Ham United, awal pagi Sabtu. Spurs kalah 0-1 dan gagal mendekatkan jurang dengan Chelsea yang berada di puncak liga. Gol tunggal Manuel Lanzini di babak kedua memastikan Spurs pulang tanpa mata. Bagaimanapun Spurs setakat ini tak berganjak dari posisi kedua dengan 77 mata. Ketika ini pasukan Mauricio Pochettino masih ketinggalan empat mata dengan Chelsea. The Blues masih berpeluang meninggalkan Spurs lebih jauh kerana minggu ini (Isnin) mereka masih mempunyai satu lagi perlawanan menentang Middlesborugh. Kekalahan dengan West Ham juga melenyapkan rekod sembilan kali menang berturut-turut Spurs sebelum perlawanan di Stadium London ini. "Ia belum berakhir. Kami perlu menunggu tetapi dengan pemikiran bbahawa sukar untuk mengejar Chelsea” kata Pochettino memetik BBC Sport. "Saya tenang. Tapi saya kecewa, sudah tentu, kerana kami terlepas peluang merapatkan jurang," katanya. Kesimpulannya, kekalahan Spurs ini menguntungkan Chelsea. Skuad bimbingan Antonio Conte hanya memerlukan dua lagi kemenangan untuk mengunci gelar an juara Liga Perdana Inggeris 2016/17, walau apa pun keputusan yang dicatatkan Spurs selepas ini. Ditanya apakah Spurs sudah mengibarkan bendera putih? “Sukar menilai peluang kami menjuarai liga. Dengan tiga baki perlawanan, kami harus memberikan yang terbaik. Usaha belum berakhir," kata Pochettino. Spurs selepas ini akan bertemu Manchester United (14/5/2017), Leicester City (18/5/2017), dan menutup musim dengan melawan Hull City (21/5/2017).