suria

Masa Depan Celin Bersama TRW Masih Kabur

CELIN (kiri) masih mengalami kecederaan sejak Februari lalu.

KOTA BHARU: Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) masih meneliti kedudukan pemain import dari Brazil, Alessandro Celin dalam skuad The Red Warriors (TRW) pada jendela perpindahan pemain pada pertengahan Mei ini berikutan kecederaan yang dialaminya sejak Februari lepas.

Setiausaha Agung KAFA Datuk Ismail Md Noor berkata, pihaknya masih mamantau tahap kesihatan pemain tersebut dan tidak akan membuat keputusan terburu-buru sama ada untuk kekal atau menamatkan khidmat pemain berkenaan.

"Kami tidak boleh membuat keputusan berdasarkan hanya beberapa perlawanan sahaja kerana baki Liga Super musim ini masih panjang," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, Isnin.

Sebelum ini pasukan TRW kendalian Ketua Jurulatih Zahasmi Ismail hanya sempat menggunakan khidmat penyerang import tersebut pada tiga perlawanan dalam saingan Liga Super sebelum pemain itu mengalami kecederaan pada paha ketika bertemu pasukan Kedah Februari lepas.

Mengenai pemain import baharu dari Gambia, Sanna Nyassi yang dibawa masuk untuk memperkuatkan pasukan TRW, Zahasmi berkata pihaknya belum menguji penyerang tersebut yang dikatakan akan menggantikan Alessandro Celin.

"Mungkin pemain ini akan diuji pada perlawanan menentang Selangor PKNS FC pada 13 Mei ini selain beberapa perlawanan persahabatan," katanya.

Zahasmi berkata KAFA kini dalam proses untuk memperbaiki dan meningkatkan prestasi pemain bagi menghadapi baki Liga Super dan saingan Piala Malaysia musim ini.

Kelantan kini berada pada kedudukan ketujuh Liga Super dengan mengumpul 13 mata.


KAFA, TRW, Alesssandro Celin

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain