suria

Mampukah Kedah Berdepan PKNS, Ini Jawapan Nidzam

PENGENDALI skuad Hijau Kuning, Mohd Nidzam Adzha Yusof tidak meletakkan kemampuan Kedah yang bakal berdepan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) pada pemain tertentu.

Legenda pasukan itu memberitahu, selain kemampuan secara individu, semangat dan pengalaman pasukan tersebut juga antara kekuatan untuk berdepan PKNS dalam saingan Liga Super.

Mohd Nidzam berkata, walaupun terpaksa melupakan khidmat empat pemain utama, namun tonggak simpanan juga mempunyai kelebihan masing-masing.

"Tidak kira siapa yang bakal beraksi kesemua mereka memiliki kemampuan untuk berdepan PKNS di Shah Alam. Kami tahu bukan mudah untuk mendapatkan gol tetapi itu juga bukan alasan.

"Pemain simpanan kita mempunyai pengalaman dan kemampuan kerana mereka telah memastikan Kedah muncul juara Piala Malaysia musim lalu dan Liga Premier sebelum itu.

"Apa yang penting mereka perlu bersatu hati dan berjuang bagi memastikan permainan berakhir dengan kemenangan berpihak kepada kita.

"Kami telah menjalani latihan dan melakukan persediaan sebaik mungkin untuk perlawanan ini dan segala disipilin perlu diterjemah dengan baik jika pemain mahukan kemenangan," katanya kepada mStar Online.

Mohd Nidzam memberitahu, skuadnya perlu kembali mendapatkan tiga mata dan bersaing untuk kedudukan teratas liga memandangkan perbezaan mata antara tiga pasukan teratas juga tidak begitu ketara.

Menjelaskan mengenai ketegasan Zachary Anderson untuk beraksi dalam perlawanan itu, ujarnya, Kedah tidak boleh mengambil risiko berkenaan kerana pemain akan mengalami kecederaan lebih teruk jika tidak pulih sepenuhnya.

"Zachary mengalami kecederaan pada tulang pinggulnya dan telah dinasihatkan supaya berehat. Saya tidak boleh mengambil mudah kecederaan itu dan perlu menggantikan tempatnya dengan pemain lain.

"Walaupun Zachary dan Liridon Krasniqi tidak ada kali ini namun kita ada sorakan penyokong setia yang akan menjadi pembakar semangat pemain untuk mereka terus berjuang," luah Nidzam.

Kedah, Liga Super, PKNS

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain