BATU KAWAN: Jaringan Norshahrul Idlan Talaha pada minit terakhir perlawanan membantu Felda United mencatatkan kemenangan tipis 2-1 ke atas pasukan tercorot Liga Super, Pulau Pinang di Stadium Negeri di sini, malam Ahad. Skuad ''The Fighters'' terlebih dahulu membuka jaringan menerusi pemain import dari Argentina, Lucas Matias Cano pada minit ke-16. Bersambung babak kedua, skuad Harimau Kumbang berjaya menyamakan kedudukan menerusi penyerang import dari Papua New Guinea, Nigel Dabinyaba pada minit ke-54, sebelum Norshahrul atau lebih dikenali dengan panggilan Mat Yo mengesahkan tiga mata penuh bagi skuad kendalian B. Sathianathan pada minit ke-89. Terdahulu, Pesuruhjaya Perlawanan M.Elagkoven, terpaksa menangguhkan perlawanan selama sejam, akibat hujan lebat yang menyebabkan permukaan padang becak dan dinaiki air serta tidak sesuai untuk memulakan perlawanan. Kemenangan itu juga membantu Felda United melonjak ke tangga keenam carta dengan 14 mata selepas 12 perlawanan, manakala Pulau Pinang kekal di tangga tercorot dengan lima mata. Dalam dua lagi aksi liga Selasa ini, Sarawak akan menerima kunjungan Selangor di Stadium Negeri Kuching, manakala PKNS FC akan bertemu Kedah di Stadium Shah Alam.