suria

'Bonus' Menanti Kedah

Bojan Hodak

PETALING JAYA: Kedah bakal mendapat 'bonus' seandainya bekas pembantu Tan Cheng Hoe, Ramon Marcote kembali berbakti untuk skuad Lang Merah.

Bukan sahaja mendapat pengganti Cheng Hoe, Kedah juga bakal memiliki Jabatan Metodologinya sendiri sebagaimana diuruskan Marcote di kelab gergasi Sepanyol, Atletico Madrid.

Menurut jurulatih berpengalaman luas dalam Liga Malaysia, Bojan Hodak, Jabatan Metodologi berperanan merangka pelan untuk latihan kecergasan sesebuah pasukan.

"Dalam bola sepak di Eropah, ia seperti sains, jadi kelab gergasi yang ada suntikan kewangan besar mempunyai beberapa jurulatih kecergasan, pakar pemulihan dan fisioterapi.

"Dengan adanya jabatan itu, pemain di Eropah boleh segera pulih daripada kecederaan yang mereka alami walaupun kecederaan itu serius," katanya kepada mStar Online.

Dalam Liga Malaysia, Bojan berkata hanya kelab Johor Darul Ta'zim (JDT) yang mempunyai jabatan yang berperanan hampir sama dengan yang dimiliki kelab gergasi di Eropah.

"Pada pendapat saya, setiap kelab di Malaysia tidak perlu ada jabatan itu kerana mereka sudah ada jurulatih kecergasan sendiri.

"Namun JDT mempunyai beberapa individu yang pakar dalam aspek kecergasan, jadi saya rasa mereka boleh gelar ia sebagai Jabatan Metodologi," katanya.

Diminta mengulas sama ada Marcote calon yang sesuai untuk mengemudi Kedah, Bojan enggan memberikan sebarang komen.

Sebaliknya, beliau berkata tugas sebagai jurulatih atau pembantu jurulatih dengan jurulatih kecergasan adalah dua tanggungjawab yang berbeza.

"Untuk bekerja sebagai pembantu jurulatih atau jurulatih kecergasan, ia berbeza kerana anda tidak perlu membuat keputusan penting.

"Tetapi keputusan di tangan ketua jurulatih. Itu yang membezakan peranan kedua-dua posisi itu," katanya.

Sebagai rekod, Marcote menyertai Kedah sebagai jurulatih kecergasan pada Januari 2015 dan pernah memangku tugas sebagai jurulatih skuad itu ketika Cheng Hoe mengikuti kursus kejurulatihan lesen A di China.

Ketika itu, Marcote mengiringi pasukan Kedah ke saingan Piala Malaysia 2015 ke perlawanan akhir yang menyaksikan skuad Hijau Kuning tewas 0-2 kepada Selangor.

Buat masa ini, Marcote yang memiliki lesen profesional Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA), bertugas sebagai jurulatih kecergasan Atletico Madrid.

Ramon Marcote, Kedah, Bojan Hodak

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain