PENGURUS Chelsea, Antonio Conte gembira kerana berjaya membawa pasukannya meraih gelaran juara Liga Perdana Inggeris musim 2016/17. The Blues menang 1-0 ke atas West Bromwich Albion, dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium The Hawthorns, awal pagi Sabtu. "Terima kasih, ini merupakan pencapaian satu besar untuk pemain. Saya berterima kasih atas segala komitmen dan semangat mereka. Semua pemain menunjukkan sikap yang hebat dan cuba melakukan sesuatu yang besar musim ini. Kami harus selesa dan bergembira dengan kemenangan ini. "Setiap kali perlawanan, saya berasa seperti bermain bersama dengan pemain. Saya telah menunjukkan semangat dan sikap untuk membawa Chelsea mendapat hasil terbaik. Kami mampu menang gelaran juara Liga Perdana Inggeris kerana kerjasama berterusan sehingga akhir," katanya. Gol kemenangan Chelsea diperolehi melalui 'kepintaran' Conte yang membawa masuk Michy Batshuayi pada minit ke-82. Kemenangan itu membuatkan Chelsea semakin kukuh di puncak liga dengan 87 mata dari 36 perlawanan. Untuk rekod, Conte datang ke Chelsea dengan modal kegagalan membawa pasukan kebangsaan Itali menjadi juara Piala Eropah 2016 di Perancis. Ketika itu Itali hanya mampu mara ke suku akhir sebelum disingkirkan Jerman. Namun, kedatangan Conte Chelsea yang menamatkan saingan musim lepas di posisi ke-10 disambut dengan terbuka oleh pemain dan penyokong. Kemampuan Conte sedikit diragukan ketika The Blues kalah kepada Liverpool dan Arsenal dalam perlawanan awal saingan liga musim ini. Kepintaran Conte mula dapat dilihat apabila dia mengubah format Chelsea dari 4-2-3-1 menjadi 3-4-3. Sejak itu, Chelsea terus meraih kemenangan dan berada di puncak liga sehingga akhir musim. Conte juga telah mencatat rekod sendiri dengan kemenangan kali ini: - Menjadi pengurus keempat berasal dari Itali yang berjaya menjuarai Liga Perdana selepas Carlo Ancelotti, Roberto Mancini, dan Claudio Ranieri. - Menjadi pengurus keempat yang berjaya menjulang trofi Liga Perdana pada musim pertamanya setelah Jose Mourinho (2004/05), Carlo Ancelotti (2009/10) dan Manuel Pellegrini (2013/14). - Meraih gelaran juara liga pada empat musim berturut-turut sebagai jurulatih kelab. Bersama Juventus di Serie A pada 2011/12, 2012/13 dan 2013/14 serta Chelea di Liga Perdana pada 2016/17.