suria

Piala Asia: KBS Serah Kepada Kementerian Luar Buat Keputusan

Khairy menyerahkan Obor Kuala Lumpur 2017 kepada Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Kebudayaan dan Warisan Negeri Johor Datuk Zulkurnain Kamisan pada Majlis Penyerahan Obor, Larian Obor Kuala Lumpur 20017 di perkarangan Muzium Tokoh, Bukit Senyum pada Sabtu. foto ABDUL RAHMAN EMBONG/THE STAR

JOHOR BAHRU: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan menyerahkan sepenuhnya kepada Kementerian Luar untuk memutuskan sama ada skuad bola sepak kebangsaan masih beraksi di Pyongyang, Korea Utara pada 8 Jun ini bagi pusingan akhir kelayakan Piala Asia 2019.

Menterinya, Khairy Jamaludin berkata keputusan itu merupakan bidang kuasa  Kementerian Luar dan dilihat lebih layak dan bertanggungjawab dalam menguruskan sekatan lawatan rakyat Malaysia ke mana-mana negara luar.

"Kementerian Luar Negeri yang sebenarnya menentukan dasar kita (kerajaan) berkenaan dengan sekatan lawatan ini dan saya telah meminta mereka untuk memaklumkan sendiri kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tentang pendirian kerajaan.

"Saya cuma jaga sukan dan dari segi sekatan lawatan kita ke negara-negara lain, lebih baik  kenyataan tersebut dibuat sendiri oleh Kementerian Luar Negeri," katanya.

Khairy berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Tunku Ismail Sultan Ibrahim baru-baru ini yang tidak setuju skuad negara dihantar ke Pyongyang.

Beliau ditemui ketika program Pelepasan Larian Obor Kuala Lumpur 2017 sempena Sukan SEA ke-29 dan Sukan Para Asean ke-9 (KL2017) di perkarangan Muzium Tokoh Johor, Bukit Senyum di sini, Sabtu.

Khairy berkata sebarang kenyataan dari Kementerian Luar itu akan dilakukan dalam masa terdekat setelah mengambil kira perbincangan KBS bersama mereka sebelum ini.

Minggu lepas, Tunku Ismail menegaskan baginda tidak bersetuju skuad negara dihantar ke Pyongyang kerana memandang serius isu keselamatan pemain rententan situasi di negara komunis itu kurang menyakinkan.

Tunku Ismail juga memohon agar perlawanan tersebut dapat diadakan di lokasi neutral, sekali gus memastikan pasukan negara tidak terlepas sebarang aksi dan tidak perlu menanggung akibat seperti didenda atau disingkirkan daripada Konfederasi Bolas Sepak Asia (AFC). - BERNAMA 

Artikel Sebelum

Artikel Lain