YAYA Toure mengakui tidak suka meraikan hari lahirnya. Biarpun City mencatat kemenangan 2-1 ke atas Leicester di Stadium Etihad Sabtu lalu, tiada sebarang sambutan hari lahir buat pemain berusia 34 tahun itu. Ejennya, Dimitry Seluk telah meminta peminat-peminat Man City supaya membawa kek ketika perlawanan menentang Leicester bagi sama-sama meraikan hari lahir Toure. Dan terdapat juga sebahagian penyokong membawa poster berbentuk kek dengan ucapan 'Happy Birthday Yaya'. "Saya yakin ia sekadar nombor. Saya hanya gembira bermain bola sepak. "Saya benci hari lahir saya. Saya tidak suka," ujarnya tanpa memberi sebarang penjelasan mengenainya. Bagaimana pun, Toure turut teruja dengan sokongan yang diberikan daripada peminat-peminat Man City. Toure bakal mengakhiri tujuh tahun bersama City hujung musim ini jika pengurus Pep Guardiola tidak menawarkan kontrak baharu kepadanya.