PETALING JAYA: 'Ayam tambatan' Kelantan Mohammed Ghaddar sah meninggalkan skuad The Red Warriors (TRW) pada jendela perpindahan Liga Super musim ini. Penyerang import kelahiran Lebanon itu mengesahkannya di laman Instagramnya pada Isnin sekali gus menutup desas desus tentang perpindahan yang dinafikannya sebelum ini. Jelas pemain berusia 33 tahun itu, dia akan berpindah ke Johor Darul Tak'zim (JDT) bagi meneruskan kariernya. Dalam masa sama dia turut berterima kasih kepada Kelantan FC terutamanya Tan Sri Annuar Musa yang telah menganggap dirinya sebagai anak sendiri. Sebagai rekod, nama Ghaddar dengan TRW sudah sinonim berdasarkan rekod kali ketiga meninggalkan Kelantan. Selepas musim 2012-2013, Ghaddar berpindar ke Felda United dan kembali ke Kelantan pada 2014. Setahun kemudian dia berpindah ke kelan Al-Faisaly, Naft Al-Wasat, Tripoli kembali ke Al-Faisaly sebelum menyarung jersi Kelantan awal musim ini. Sementara itu, Pengarah Sukan Kelab Bolasepak Johor Darul Ta'zim JDT Alistair Edwards, memberitahu telah menghantar surat tawaran rasmi kepada Kafa untuk mendapatkan khidmat pemain Kelantan, Mohammed Ghaddar dari awal lagi. "Tawaran ini masih dalam rundingan dan akan menjadi satu 'win-win situation' kepada semua pihak yang terlibat dan sekali gus bakal menjadikan ianya perpindahan tertinggi di Malaysia dalam sejarah bola sepak tanah air. "Ini adalah satu tawaran yang baik untuk kedua-dua kelab, di mana Kelantan akan dapat menyelesaikan beberapa isu-isu kewangan serta membeli beberapa pemain baru. "JDT pula akan mendapat seorang pemain yang terbukti cemerlang dengan rekod prestasi yang sentiasa mahukan kejayaan," ujarnya dalam satu kenyataan di laman Facebook Johor Southern Tigers.