KOTA BHARU: Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) mengesahkan telah menerima surat tawaran daripada pengurusan pasukan Johor Darul Ta''zim (JDT) bagi mendapatkan khidmat penyerang importnya Mohammed Ghaddar pada pintu perpindahan pemain yang dibuka pada Isnin. Setiausaha Agung KAFA Datuk Ismail Md Noor berkata susulan itu, pihaknya telah melantik naib presiden, Datuk Nasir Hamzah, bendahari persatuan, Nik Aminalddin Nik Jaafar serta beberapa exconya untuk menguruskan tawaran tersebut. "(Tawaran yang diberikan kepada Ghaddar) sudah tentu memberi tekanan kepada kami memandangkan tawaran tersebut sangat tinggi," katanya dalam satu kenyataan di sini, Isnin. Akhbar sebelum ini melaporkan JDT amat berminat mendapatkan khidmat pemain import dari Lubnan itu yang kini adalah penjaring terbanyak dalam saingan Liga Super dengan 18 gol. Ismail berkata KAFA juga berdepan tekanan untuk mendapatkan khidmat penyerang yang baharu dalam tempoh yang singkat memandangkan ''hati dan perasaan Ghaddar sudah tidak bersama Kelantan''. "Bagaimanapun, kalau ini menjadi realiti (perpindahan Ghaddar kepada JDT) maka biarlah Kelantan juga mendapat faedah. "Saya berharap jawatankuasa kita dapat menggunakan kebijaksanaan mereka supaya setiap rahmat melimpah menjadi milik kita," katanya.