STADIUM White Hart Lane akhirnya ditutup, kurang daripada 24 jam selepas aksi terakhir liga di laman sendiri dengan kemenangan 2-1 ke atas Manchester United, awal pagi Isnin. Tottenham Hotspur tidak mengambil masa lama untuk 'membersihkan' stadium yang menjadi kebanggaan sejak 1899 bagi memberi laluan kepada arena baharu yang lebih besar dengan kapasiti 61,559 penonton di sebelahnya. Kelab secara rasminya telah menyerah kunci stadium kepada kontraktor bagi meneruskan pembinaan stadium baharu mereka. Jelas penyerang Spurs, Harry Kane: "Pengakhiran yang bermakna. Kami sememangnya mahukan kemenangan pada perlawanan terakhir di sini". Penonton-penonton mengambil peluang bergambar buat kali terakhir sebelum White Hart Lane ditutup sepenuhnya. Spurs bakal bermain di Stadium Wembley musim depan sementara menunggu stadiumn baharunya yang dijangka disiap sepenuhnya bagi musim 2018-19.