suria

Pengganti Ghaddar Dalam Radar TRW

PENYERANG skuad kebangsaan Lubnan dikatakan berada dalam radar Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) untuk dibawa masuk memperkuatkan The Red Warriors (TRW) menghadapi baki saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.

Sumber dalaman persatuan itu mendedahkan penyerang terbabit, Abou Bakr Al-Mel (gambar) menjadi pilihan menggantikan penyerang import sensasi, Mohammed Ghaddar yang dilepaskan ke Johor Darul Ta’zim (JDT) pada jendela perpindahan pemain pertengahan musim ini.

Menurutnya, bukan sesuatu mengejutkan jika pemilihan Abou Bakr itu menjadi kenyataan memandangkan Kafa mempunyai perancangan tersendiri setelah terpaksa merelakan pemergian penjaring terbanyak Liga Super itu.

“Dia (Abou Bakr) beraksi di posisi serangan dan merupakan rakan sepasukan Mohammed Ghaddar dalam skuad kebangsaan Lubnan di bawah kendalian jurulatih Montenegro, Miodrag Radulovic.

“Pemain ini dijangka tiba bila-bila masa di Kota Bharu dan mungkin anda (wartawan) perlu menunggu pengumuman rasmi Tan Sri Annuar (Musa, Pengerusi Konsortium Al-Hamra) mengenai perkara ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Abou Bakr yang baharu mencecah usia 24 tahun dan beraksi bersama kelab AC Tripoli dalam liga negaranya mempunyai ketajaman penyudah seperti Mohammed Ghaddar.

Tegas sumber itu, seorang lagi calon pemain import, Sanna Nyassi (Gambia) kemungkinan tidak mendapat tempat dalam skuad pantai timur itu walaupun beraksi baik pada aksi persahabatan menentang PKNS FC di Shah Alam, baru-baru ini.

“Ada kemungkinan Sanna dibawa ke ibu negara untuk mencuba nasib dengan pasukan lain, tetapi peluang dia masih terbuka (menyertai Kelantan) kerana Kafa belum putuskan masa depan Celin (Alessandro) bersama pasukan itu,” katanya.

Dalam perkembangan lain, sumber itu turut mengesahkan pemain TRW masih belum terima gaji April sehingga menyebabkan mereka buntu memikirkan masalah tidak berkesudahan itu.

“Sepatutnya gaji masuk minggu lalu, tetapi sehingga hari ini (semalam) pemain dan pegawai pasukan belum dapat dan ia mendukacitakan kerana mereka berdepan masalah sama setiap bulan,” katanya.

Mohammed Ghaddar, TRW, Abou Bakr

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain