PETALING JAYA: Pengendali skuad Tok Gajah berdepan 'masalah besar' menjelang perlawanan akhir Piala FA, Sabtu ini. Jelas Dollah Salleh, prestasi pemain-pemainnya sejak kebelakangan ini membuatkan dia pening kepala. "Saya tidak tahu untuk memilih 18 pemain terbaik. Semua pemainnya menunjukkan tahap prestasi yang baik. Bagaimanapun saya sentiasa mengingatkan mereka supaya memberi fokus kepada perlawanan final ini. "Kami tidak ada ramuan rahsia, sebaliknya semangat yang ditunjukan semua pemain adalah faktor kami layak ke pentas akhir," ujarnya kepada mStar Online, Khamis. Tambah bekas pengendali kebangsaan ini, dia tidak kisah pasukannya digelar 'underdog' berbanding Kedah yang lebih mencuri tumpuan peminat bola sepak tempatan. "Kamu yang memberi gelaran itu (underdog). Kami hanya ingin memberi fokus kepada perlawanan sahaja. "Apa yang penting sekarang, tempoh sehari dua ini diharap tidak ada pemain yang mengalami kecederaan serius dan saya yakin semuanya sudah bersedia untuk aksi Sabtu ini". Mengenai perkembangan pemain muda baharunya Yamil Romero, jurulatih berusia 53 tahun itu memberitahu, bahawa belum pasti lagi sama ada dia akan diturunkan atau tidak pada aksi bertemu Kedah nanti. "Saya perlu berbincang dahalu. Lagipun Romero baharu tiga empat hari bersama kami. Saya kena tengok juga tahap prestasi, kecergasan dia walaupun setakat ini semuanya lancar. "Jadi setakat ini saya belum ada keputusan sama ada dia bermain atau tidak," ujarnya ringkas mengenai pemain import baharu Tok Gajah itu. Sebagai rekod, Pahang bakal turun ke Stadium Shah Alam dalam misi merangkul gelaran ketiga juara Piala FA selepas tahun 2014 dan 2006.